Anak Buaya Sesat Akhirnya Berjaya Ditangkap
SHAH ALAM 26 Feb. - Seekor anak buaya yang dipercayai dilepaskan pihak tidak bertanggungjawab di Taman Tasik Shah Alam berjaya ditangkap kira-kira 11.30 pagi ini apabila reptilia itu memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Pengarah Perhilitan Selangor, Abd. Rahim Othman berkata, pihaknya memasang tiga perangkap dengan menggunakan umpan ayam sejak anak buaya itu dikesan pada 22 Februari lalu.
"Anak buaya itu belum dikenal pasti jantinanya dan bersaiz sepanjang satu meter. Reptilia tersebut akan dihantar ke Paya Indah Wetlands, "katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jumaat lalu, orang ramai yang beriadah di tasik tersebut dikejutkan dengan penemuan anak buaya, sedangkan tasik berkenaan tidak bersambung atau mempunyai saluran terus ke mana-mana sungai utama di negeri ini.
Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi memburu anak buaya tersebut.
"Pihak MBSA dengan ini ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya Perhilitan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Shah Alam serta Renjer Taman MBSA,"katanya.
-UTUSAN ONLINE
Post a Comment