Header Ads

SPRM Panggil Dua Lagi Pemimpn PAS Berhubung Dana RM90 Juta



Datuk Hashim Jasin


KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memanggil dua lagi pemimpin PAS untuk memberi keterangan berkaitan dakwaan pemimpin parti itu menerima dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diberi UMNO.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis di Kangar hari ini untuk memberi keterangan dipercayai berkaitan siasatan dana tersebut.

Beliau yang memakai baju Melayu berwarna hijau tiba kira-kira 9.45 pagi.

SPRM semalam membekukan akaun bank serta merampas beberapa aset termasuk kereta mewah disyaki milik pemimpin PAS berhubung siasatan dakwaan parti itu menerima RM90 juta daripada 1MDB.

Beberapa individu dipanggil SPRM sebelum ini untuk memberi keterangan berhubung siasatan itu antaranya Anggota Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, bekas timbalan presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa.

SPRM memanggil Nik Mohamad Abduh pada 8 Feb lepas.

Di Kota Bharu, Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat Mohd Nasir Daud hadir di pejabat SPRM Kelantan untuk diambil keterangan berhubung dakwaan penerimaan dana RM90 juta itu.



Mohd Nasir Daud


Beliau yang berbaju Melayu tiba di pejabat SPRM pada pukul 9.40 pagi dan dilihat keluar dari pejabat itu lebih sejam kemudian.

Beliau yang ditemui pemberita selepas itu mengesahkan kehadirannya adalah untuk membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan itu.

Mohd Nasir berkata beliau telah memberi segala kerjasama kepada dua pegawai SPRM tetapi tiada apa-apa dokumen yang diminta daripadanya.

“Saya telah menjawab segala soalan berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber : Bernama




LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA