Sikap Hina Raja, Kesucian Islam Tidak Boleh Dibiarkan - Pemangku Raja Pahang
Tengku Hassanal berkenan menyampaikan titah ucapan ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Persidangan DUN Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal |
KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, mahu semua pihak menghormati sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.
Baginda bertitah, sebagai negara yang meletakkan Raja kuasa tertinggi, khususnya dalam hal ehwal agama Islam, sikap segelintir pihak menghina Raja dan kesucian Islam tidak boleh dipandang ringan serta perlu dikenakan tindakan sewajarnya.
“Penghinaan terhadap institusi Raja dan agama Islam tidak boleh dibiarkan serta dipandang enteng. Adalah wajar tindakan mengikut undang-undang diambil terhadap pihak terbabit dalam memastikan martabat institusi Raja dihormati oleh semua pihak.
“Selain itu, saya melihat pelbagai anasir negatif menular dalam kalangan rakyat beragama Islam, termasuk kefahaman Islam liberal serta penerimaan terhadap golongan menyalahi fitrah manusia seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Perkembangan ini amat membimbangkan saya dan sebagai ketua agama negeri (Pahang), saya menyeru kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa bagi membanteras perkara ini daripada terus berleluasa,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14, di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Hassanal mahu Kerajaan Pahang mempelbagaikan sumber pendapatan dan tidak hanya mengharapkannya daripada sumber hutan dan bahan mineral.
“Saya berharap pihak bertanggungjawab dengan kerjasama kerajaan negeri dapat mengenal pasti sumber kekayaan baharu di Pahang bagi mengurangkan kebergantungan pada sumber mineral dan sumber asli semata-mata. Usaha ini penting dalam membawa perkembangan dan pemantapan ekonomi Pahang.
“Dalam kita mengejar peningkatan hasil, saya berharap kawasan hutan di Pahang tidak dijadikan kawasan pembalakan dan penerokaan semata-mata, sebaliknya ia mampu menjadi sumber pendapatan melalui pengamalan sistem konservasi alam sekitar yang holistik dan seterusnya memperkasakan sektor ekopelancongan,” titah baginda.
Baginda turut bertitah agar prinsip integriti sentiasa menjadi pegangan semua yang terbabit secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan memberi keutamaan terhadap interaksi bersama rakyat bagi mendapatkan pandangan sebelum membuat sebarang keputusan.
“Dasar dan tadbir urus baik adalah kunci kepada kemakmuran yang boleh dinikmati semua rakyat. Maka, adalah penting sebagai anggota pentadbiran kerajaan negeri untuk memiliki integriti yang tinggi.
“Kerajaan negeri juga perlu meneliti semula keperluan pembangunan infrastruktur mengikut keutamaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Agihan (peruntukan) pembangunan haruslah dilaksanakan dengan adil dan saksama tanpa mengabaikan rakyat di kawasan luar bandar,” titah baginda.
Tengku Hassanal turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana mengumumkan pemulangan sebanyak 50 peratus cukai pelancongan kepada Pahang yang sudah pasti dapat membantu kerajaan negeri meningkatkan aktiviti pemuliharaan, menaik taraf, menyelenggara serta meningkatkan lagi kemudahan pelancongan di negeri ini.
SUMBER - BERITA HARIAN
Post a Comment