Header Ads

Kerajaan Belanja RM15.5 Juta Selenggara Equanimity - Peguam Negara

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
Subscribe Channel Kami di Youtube 
KAPAL mewah 'The Equanimity'. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Kerajaan membelanjakan kira-kira RM15.5 juta untuk menahan dan menyelenggara kapal mewah Equanimity sepanjang sembilan bulan tempoh penahanannya sehingga ia diserahkan kepada pembeli.


Ketika memperincikan kos ditanggung kerajaan, Peguam Negara, Tommy Thomas, berkata kos pengoperasian bagi menyelenggara kapal mewah terbabit adalah perbelanjaan paling besar ditanggung kerajaan iaitu hampir RM12.7 juta.
Katanya, kos berkenaan termasuk yuran agensi untuk ejen tempatan; yuran pengurusan syarikat profesional; gaji anak kapal; insurans ‘protection and indemnity’ bagi kapal; bahan ganti; kerja penambahbaikan; penyelenggaraan dan sebagainya.
“Kira-kira RM407,000 dibelanjakan untuk caj berlabuh dari Ogos sehingga November 2018, ketika Equanimity berlabuh di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang, sebelum kapal tersebut dialihkan ke Pangkalan Tentera Laut di Langkawi (tanpa sebarang caj).
“Lebih kurang RM400,000 dibelanjakan untuk mendapatkan perkhidmatan penilai dan pentaksir yang bereputasi baik dan terkemuka bagi mentaksir nilai keseluruhan kapal berkenaan. Pelantikan ini merupakan satu keperluan dalam jualan kehakiman.
“Terakhir, sebanyak RM2 juta dibelanjakan untuk yuran guaman bagi Tetuan Joseph & Partners selaku peguam cara yang mewakili Kerajaan Malaysia dan kumpulan syarikat 1MDB, yuran kaunsel bagi Ong Chee Kwan dan nasihat guaman asing Tetuan Holman Fenwick Willan berhubung proses untuk menyahdaftarkan dan mendaftarkan semula kapal di beberapa pilihan negara ‘red ensign’,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Bagaimanapun, Thomas berkata, jumlah sebanyak RM15.5 juta ini bukanlah jumlah yang muktamad namun beliau percaya perbelanjaan yang masih belum dibayar adalah jauh lebih kecil.
“Secara relatifnya, jumlah ini yang bersamaan dengan kira-kira AS$3.75 juta, adalah kecil berbanding dengan semua perkhidmatan diberikan sepanjang 9 bulan.


“Sekiranya kapal berkenaan ditahan di tempat lain di dunia ini, kosnya mungkin boleh mencecah dua hingga tiga kali ganda lebih besar malah tiada komisen yang perlu dibayar kepada broker kerana jualan ini dirundingkan secara terus,” katanya.
Thomas berkata, terdapat proses saringan dan kelulusan yang berlapis terhadap semua bayaran yang dibuat dalam penyelenggaraan serta pemeliharaan Equanimity ketika dalam tahanan.
Katanya, pasukan guaman dan pasukan perakaunan itu bertindak selaku lapisan saringan yang pertama.
“Selepas perbelanjaan diluluskan, invois akan dikemukakan ke jabatan peguam negara untuk saringan kedua, dan selepas itu oleh Syerif Mahkamah Admiralti.
“Hanya selepas diluluskan di ketiga-tiga peringkat barulah invois ini dikemukakan kepada Lembaga Pengarah 1MDB untuk kelulusan pembayaran.
“Bagi yuran guaman, semua invois disertakan dengan lembaran masa terperinci, yang membutirkan setiap tugas dilaksanakan bagi setiap jam dicaj di dalam invois berkenaan dan juga dokumen sokongan untuk semua perbelanjaan yang dibelanjakan,” katanya.
Thomas berkata, jualan itu membuktikan kemampuan sistem perundangan negara ini untuk memberikan perkhidmatan bertaraf dunia dalam cabang perundangan yang khusus, undang-undang Admiralti dan dalam pemberian perkhidmatan sokongan bagi memastikan kapal layar besar berkenaan berada dalam keadaan yang baik dan selamat selama sembilan bulan.

SUMBER BERITA HARIAN
           Subscribe Channel Kami di Youtube
LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?