Pencapaian Pekerja Malaysia Lebih Baik Berbanding Kebanyakan Negara
Dr Raduan Che Rose |
SHAH ALAM - Kedudukan dan pencapaian pekerja di Malaysia adalah lebih baik berbanding kebanyakan negara membangun dan hanya sedikit ketinggalan berbanding Singapura.
Begitupun, Presiden Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, pekerja negara ini masih mempunyai jurang luas dengan negara maju khususnya dari aspek produktiviti dan kadar pendapatan.
Menurutnya, tanpa disedari negara terjerumus ke dalam perangkap kesederhanaan berpanjangan kerana kebergantungan tinggi kepada sistem ekonomi berasaskan buruh.
“Antara prasyarat bagi mencapai status negara maju yang berpendapatan tinggi adalah melalui peralihan kepada tenaga kerja yang 'berproduktiviti tinggi serta berpendapatan tinggi'.
“Pada dasarnya, Malaysia akan memperoleh manfaat dengan peralihan kepada ekonomi yang bersaing berasaskan kualiti tenaga kerja, kemahiran teknikal dan penggunaan teknologi dan automasi serta inovasi tinggi.
“Peralihan struktur dan strategi ini memerlukan pelaksanaan dasar awam yang selaras, sejajar dan konsisten dengan sasaran menjadikan negara sebagai negara maju,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, dasar tersebut perlu disokong dengan pembangunan bakat, penyelidikan dan pembangunan serta inisiatif penaiktarafan industri.
Dalam pada itu, Raduan menyokong beberapa langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan beberapa perkara termasuklah kadar gaji minimum, kajian perangkaan perundangan serta cadangan waktu kerja fleksibel.
“Ia merupakan sesuatu yang boleh diraikan oleh pekerja sebagai langkah memperbaiki kualiti kehidupan. Selain itu pihak pekerja juga perlu menyediakan diri dengan persekitaran baru termasuk keperluan untuk melaksanakaan kerja pelbagai fungsi.
“Semua pekerja di negara ini diharapkan dapat menumpukan segala kebolehan dan kepakaran untuk menjadikan negara sebagai sebuah negara maju yang seterusnya akan memberi faedah dan kebahagiaan kepada seluruh masyarakat,” ujarnya.
SUMBER - SINAR HARIAN
Subscribe Channel Kami di Youtube
Post a Comment