Header Ads

Jaga Akhlak,Jauhi Anasir Tidak Sihat - Sultan Kedah

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
Subscribe Channel Kami di Youtube
 
SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bersama Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat ke majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji yang akan berangkat ke tanah suci malam ini di TH Hotel. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Jemaah haji diingatkan supaya sentiasa menjaga akhlak dan menjauhi anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej negara serta hubungan baik kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sepanjang berada di Tanah Suci.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, bertitah jemaah haji perlu mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang ditetapkan kerajaan Arab Saudi dan tidak melakukan perkara yang sia-sia.

“Ketika musim haji, jutaan umat Islam dari pelbagai negara akan berkumpul di Tanah Suci, perhimpunan terbesar ini mengajar umat Islam untuk bersabar, bertoleransi dan berkasih sayang tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya.

“Justeru beta menasihatkan kepada semua jemaah haji untuk menggunakan masa sebaik-baiknya dan elakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah yang akan mengganggu tumpuan ibadat,” titah baginda pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji di TH Hotel di sini, malam tadi.

Yang turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff. Baginda berdua diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin mengajak umat Islam di negara ini sentiasa bersyukur kerana dapat hidup aman damai dan dapat menyemarakkan syiar Islam serta melaksanakan ibadat tanpa halangan.

Baginda berharap umat Islam di Kedah khususnya dan Malaysia amnya terus bersatu padu tanpa melihat perbezaan yang boleh memecahkan kesatuan ummah.

“Oleh itu, keamanan yang dimiliki harus dikekalkan dan diharapkan jemaah haji dapat mendoakan kesejahteraan dan keamanan Kedah dan Malaysia selain mendoakan kesejahteraan diri,” titah baginda

Pada majlis itu Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha turut mencemar duli bersalaman dengan 150 haji dari Kedah dan Perlis.

Jemaah berkenaan adalah kumpulan ketujuh yang akan berlepas pada jam 12 tengah malam dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim(LTSAH) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan penerbangan ke Madinah.



Seramai 1,650 jemaah haji menaiki penerbangan di LTSAH yang dibahagikan kepada 11 kumpulan, kumpulan pertama berlepas pada 3 Julai dan kumpulan terakhir pada Ahad ini.

SUMBER - BERITA HARIAN

          Subscribe Channel Kami di Youtube
LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?