Pekerja Restoran Makanan Maut Langgar Belakang Lori
KUALA SELANGOR - Seorang pekerja sebuah restoran makanan segera di Kuala Selangor menemui ajal selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori di kilometer 49 Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran Pasir Penambang di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa Nur Afiah Jamaludin, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah di bahagian kepala. Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, kemalangan itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dari arah Kuala Selangor menghala ke Tanjong Karang.
"Mangsa dipercayai dari tempat kerjanya di Kuala Selangor menuju ke rumahnya yang beralamat di Taman Masria Tanjong Karang. Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa gagal mengawal motosikalnya sebelum merempuh bahagian belakang lori jenis Hino yang parkir di bahu jalan.
"Berikutan kejadian itu, mangsa maut di lokasi kejadian dan motosikal dinaikinya mengalami kerosakan. Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat," katanya. Md Asri berkata, pemandu lori berusia 52 tahun beralamat di Semanggol, Perak tidak mengalami kecederaan. "Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,"
Sumber - Sinar Harian
Post a Comment