Anak Meninggal Dunia Selamatkan Ibunya Dari Perogol
Seorang pelajar sekolah yang cuba menyelamatkan ibunya daripada menjadi mangsa rogol seorang lelaki bersenjatakan pisau, meninggal dunia selepas 19 bulan bertarung nyawa ekoran tempurung kepalanya hancur ketika berlawan dengan suspek.
Pada hari kejadian, mangsa, Vanya Krapivin, 16, yang baru pulang dari sekolah terdengar jeritan dan mendapati ibunya berlumuran darah.
Suspek dilaporkan berulang kali menyerang Natalia Krapivina, 43, dengan pisau untuk memaksa mangsa mengadakan hubungan seks dengannya.
Vanya yang ketika itu berusia 15 tahun, masuk ke rumah dan ternampak kejadian itu lalu mengambil 'dumbbell' berat 3 kilogram dan menghentak suspek. Suspek bagaimanapun merampas 'dumbbell' itu lalu menghentak kepala remaja terbabit.
Jiran yang terdengar kejadian itu terus menghubungi pihak polis, namun suspek telah melarikan diri dari tempat kejadian.
Vanya dan ibunya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di lantai rumah, dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Vanya dilaporkan koma selama sembilan bulan, manakala ibunya mengalami kecederaan parah akibat ditikam sebanyak 27 kali.
Menurut laporan media, Natalia mengalami trauma dan dibenarkan keluar dari hospital selepas beberapa bulan kemudian. Natalia hanya melawat anaknya dua kali selepas kejadian itu.
Vanya pula mengalami kecederaan otak yang serius dan hampir hilang keseluruhan bahagian depan tempurung kepala. Pakar bedah terpaksa membuang sebahagian otaknya.
Seorang penyampai TV, Andrey Malakhov telah melancarkan tabung derma untuk Vanya bagi membolehkan pemasangan plat titanium di kepala Vanya, selain menanggung kos perubatan remaja berkenaan.
Setahun kemudian, Vanya menunjukkan perkembangan positif selepas dirawat oleh doktor pakar dari Rusia, Leonid Roshal.
Pada Jun lalu, Vanya mula mengenali jururawat dan mampu menerima makanan yang diberikan. Pada bulan seterusnya, Vanya menjalani proses pemulihan di Moscow dengan harapan ada sinar baru untuknya.
Namun pada Oktober lalu, Vanya dijangkiti selesema dan keadaannya menjadi kritikal sehingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia pada Selasa lalu.
Lebih menyedihkan, ibunya tidak dapat menerima berita kematian anaknya itu mula menyalahkan dirinya sendiri meskipun dia juga merupakan mangsa dalam kejadian tersebut.
Natalia kini menerima kritikan dari pelbagai pihak di Rusia kerana tidak berada di sisi anaknya selepas kejadian itu. Natalia mengaku dia kerap minum alkohol selepas kejadian itu.
Sementara itu, tertuduh, Roman Pronin, telah dijatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun atas dua pertuduhan cubaan membunuh. Namun selepas kematian Vanya, Pronin kita berdepan dengan pertuduhan membunuh.
Sumber;the reporter
Post a Comment