Header Ads

Salah faham isu beri zakat bukan Islam - Mufti Perlis

Mufti Negeri Perlis,Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KANGAR: Masyarakat didakwa khilaf dalam memahami pemberian wang zakat kepada golongan bukan Islam seperti diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis sejak 2017. 

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata fatwa itu diputuskan selepas mengambil kira pendapat dalam kalangan ahli fekah dan bukan fatwa rekaan baharu. 

“Kitab fekah sejak dahulu sudah menyebut perkara ini dan paling mudah di zaman ini boleh dibaca adalah kitab Fiqh al-Zakah karangan Dr Yusof al-Qaradawi. 

“Beliau antara yang menyokong pendapat (pemberian wang zakat kepada orang bukan Islam). 

“Penentuan kadar zakat dan siapa yang berhak menerimanya ditentukan oleh ulil amri atau pemerintah yang mengurus zakat, bukan ditentukan pihak bukan Islam. 

“Pastinya ulil amri itu bijak dalam urus tadbir pembahagian, maka tidak perlu ada kerisauan dalam hal ini,” katanya menerusi kenyataan di akaun Facebook DrMAZA.com, malam tadi. 


Sebelum ini, Mohd Asri dalam kuliah di Masjid Alwi antara lain menyebut, Perlis adalah satu daripada negeri yang meluluskan fatwa membolehkan wang zakat diberi kepada bukan Islam mengikut asnaf ‘muallafah qulubuhum’, iaitu golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam. 

Beliau dilaporkan berkata, golongan bukan Islam layak menerima bantuan dengan syarat ditentukan oleh pemerintah. 

Mengulas tujuan pemberian zakat kepada masyarakat bukan Islam, Mohd Asri berkata, ia bertujuan melembutkan jiwa orang bukan Islam kepada ajaran Islam yang baik dan harmoni, selain sebagai agenda dakwah. 

“Ini dakwah yang berkesan dan zakat itu bukan sahaja dalam bentuk wang, malah boleh juga berbentuk makanan, bantuan ubatan dan seumpamanya. 

“Contohnya, apabila pihak pengurusan zakat membantu mangsa banjir atau kebakaran, mungkin dalam kalangan mereka ada orang bukan Islam. 

“Tidak wajar jika mangsa beragama Islam menerima makanan atau bantuan manakala mangsa bukan Islam tidak diberi bantuan sama. 

“Ia memberi persepsi buruk terhadap Islam dan tidak mencerminkan sifat Islam yang merahmati semua pihak,” katanya.


Sumber:Berita Harian

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
nak hosting sendiri, senang cepat dan mudah? daftar DISINI 
Subscribe Channel Kami di Youtube



No comments

Ada apa nak kata ?