Kadar Elaun Rela Dinaikkan - KDN
Majlis Sambutan Ulang Tahun RELA ke-47 Peringkat Kebangsaan 2019 |
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN)
bercadang menaikkan kadar elaun bertugas bagi pegawai dan anggota
Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selewat-lewatnya tahun depan.
Menterinya,
Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya mencadangkan kadar elaun
bertugas bagi pegawai RELA dinaikkan daripada RM7.80 kepada RM9.80
sejam, manakala bagi anggota biasa daripada RM6 sejam kepada RM8 sejam,
selepas kali terakhir dikaji tujuh tahun lalu.
Beliau
berkata, kementerian melihat ada asas
untuk menaikkan kadar elaun
bertugas itu dengan mengambil kira kos sara hidup masa kini yang semakin
meningkat.
“RELA
memperuntukkan RM14 juta setahun bagi kadar elaun bertugas itu dan
kementerian memohon tambahan RM10 juta lagi daripada Kementerian
Kewangan bagi tambahan kadar elaun ini.
“Saya
fikir kadar itu tidak terlalu melampau dan boleh diusahakan, malah saya
sendiri akan menghantar surat sokongan kepada Menteri Kewangan, Lim
Guan Eng dan berharap ia dapat diluluskan.
“Kalau
dapat diluluskan tahun ini pun bagus tapi kalau tak boleh disebabkan
bajet sudah diluluskan, maka kita harap ia dapat dilaksanakan tahun
depan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun RELA
ke-47 Peringkat Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.
Katanya,
kementerian sentiasa prihatin terhadap kebajikan anggota RELA di
seluruh negara dan menyambut baik kenyataan dibuat Ketua Pengarah
Pesuruhjaya RELA, Zulkifli Abidin supaya peranan dan skop kerja RELA
diperluaskan lagi pada masa depan.
“Saya
melihat RELA bukan sahaja sebagai organisasi sukarelawan terbesar di
Malaysia sebaliknya skop dan bidang kerjanya boleh dikaji dan
dipertingkatkan.
“Bagaimanapun,
ia perlu ada perbincangan lanjut kerana bagi menambahkan skop kerja, ia
memerlukan latihan, sumber manusia dan peruntukan,” katanya.
Muhyiddin dalam ucapannya berkata, RELA juga mampu menjadi pemangkin kepada aktiviti pencegahan jenayah bersama komuniti.
“Pada
tahun lalu, jenayah indeks per 100,000 penduduk Malaysia mencatatkan
penurunan sebanyak 11.9 peratus atau 11,949 kes kepada 88,662 kes
berbanding nilai ambang yang ditetapkan iaitu 100,611 kes.
“Saya
difahamkan bahawa anggota RELA berjaya melaksanakan 17,397 rondaan
keselamatan secara sukarela di seluruh negara tahun lalu,” katanya.
Sumber Berita Harian Online
Post a Comment