Header Ads

Kehamilan Anak Luar Nikah Semakin Meningkat

HUBUNGAN anak dan penjaga memberi kesan mendalam sepanjang hayat mereka.




Statistik penyelidikan menunjukkan purata 18,000 gadis belasan tahun di Malaysia mengandung setiap tahun. Daripada jumlah itu, 25 peratus atau kira-kira 4,500 kes melibatkan hamil luar nikah.

Merujuk statistik 2015 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC) percaya meskipun statistik tahun lalu belum dikeluarkan, kes kehamilan gadis belasan tahun semakin meningkat.

“Angka ini mungkin kecil daripada yang sebenar kerana banyak kes mungkin tidak dilaporkan,” kata Pakar Obstetrik dan Sakit Puan UMSC, Prof Madya Dr. Aizura Syafinaz Ahmad Adlan. Beliau ditemubual bersama adiknya yang merupakan seorang Pakar Sakit Jiwa di UMSC, Dr. Aida Syarinaz.

Statistik itu juga menunjukkan kira-kira 14 daripada 1,000 gadis bawah umur di Malaysia hamil setiap tahun. Ini menjadikan purata 18,000 gadis hamil setiap tahun. Berbanding di Singapura, kadarnya ialah empat kehamilan bagi setiap 1,000 gadis bawah umur manakala Hong Kong pula mencatatkan tiga daripada 1,000 gadis hamil anak luar nikah.

Menurut Dr. Aizura Syafinaz, masyarakat Malaysia masih sukar menerima kehamilan gadis belasan tahun. Penyebab kepada perkara ini dilarang dihebahkan termasuk seks sebelum kahwin, sumbang mahram, rogol, penderaan seksual dan kahwin dalam usia belasan tahun

ROGOL STATUTORI

Kanun Keseksaan mendefinisikan ‘rogol statutori’ sebagai hubungan seks dengan perempuan bawah umur 16 tahun yang tidak mampu memahami bentuk dan kesan mengadakan hubungan berkenaan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kehamilan gadis belasan tahun adalah di mana usia si ibu berusia antara 13 dan 19 tahun.

Berhubung perkara ‘usia memberi kebenaran’ yang mana individu dianggap dari segi undang-undang mampu memberi kebenaran untuk hubungan seks, usia yang dibenarkan di Malaysia ialah 16 tahun. Individu berusia 15 tahun atau lebih muda tidak boleh memberi kebenaran untuk mengadakan hubungan seks. Perbuatan itu boleh menyebabkan pendakwaan rogol statutori atau undang-undang tempatan yang bersamaan.

Menurut Dr. Aizura Syafinaz, kajian juga menunjukkan kebanyakan kehamilan remaja belasan tahun di Malaysia melibatkan gadis dalam kalangan miskin bandar. Mereka adalah kumpulan sosioekonomi berpendapatan rendah terdiri daripada ibu tunggal dengan anak-anak termasuk ibu bapa yang terpaksa bekerja dua syif atau melakukan dua pekerjaan dan meninggalkan anak-anak di rumah tanpa pengawasan.

“Dalam kalangan kumpulan inilah berlaku banyak kes melibatkan anak remaja perempuan hamil luar nikah. Anak-anak ini kurang perhatian dan mempunyai banyak masa. Ia bagaikan satu kitaran yang ganas,” katanya.

Beliau turut bertanyakan ibu bapa yang membenarkan perkahwinan anak mereka yang berusia belasan tahun, adakah mereka perlu didakwa kerana membenarkan rogol statutori?

Sambil menyebut peribahasa `biar mati anak, jangan mati adat, beliau berkata, ibu bapa akan mengamuk apabila mendapat tahu anak mereka sudah ternoda. Bagaimanapun, mereka bukannya mencari jalan untuk menyelesaikan isu, sebaliknya fikiran mereka lebih kepada cara untuk menutup malu akibat perbuatan anak mereka.

RUMAH PEMULIHAN

“Dalam banyak kes, remaja perempuan terbabit akan dihantar ke rumah pemulihan untuk melahirkan kandungannya. Ada ibu bapa mahu anak perempuan mereka balik ke rumah tanpa membawa bayinya kerana bagi mereka, bayi luar nikah akan membawa aib kepada keluarga, “ kata Dr. Aizura Syafinaz.

Apa yang sering berlaku, ibu bapa tidak akan menerima anak mereka yang mengandung luar nikah. Keadaan ini membuatkan ada yang sanggup membuang bayi yang dilahirkan. Data menunjukkan purata 100 bayi dibuang di seluruh negara setiap tahun.

Menurut beliau, masyarakat yang masih konservatif di negara ini masih tidak boleh menerima langkah menggunakan kondom atau pengambilan pil perancang keluarga kerana dilihat lebih kepada kaedah membenarkan seks bebas dan menggalakkkan persetubuhan haram.

“Sebagai contoh, saya mahu mencadangkan pengambilan pil perancang keluarga untuk remaja supaya darah haidnya teratur, tetapi ibu remaja itu membantah kerana bimbang orang akan menyangka anaknya aktif seks.

“Meksipun maklumat mengenai kehamilan remaja boleh diperolehi dalam portal Kementerian Kesihatan ‘myHEALTH’ sejak 2012, tetapi sehingga penghujung November lalu, portal itu cuma menerima 34 pelawat sahaja. Ini menunjukkan ia tidak mencapai sasaran golongan belia, “ katanya.

PENDIDIKAN SEKS DI SEKOLAH

Dr. Aizura Syafinaz berpendapat, pendidikan seks di sekolah menengah perlu dikaji semula kerana pada masa ini ia hanya menekankan kepada biologi asas mengenai sistem pembiakan tubuh manusia.

“Pendekatan pendidikan seks terlalu akademik dan masih secara tidak langsung kerana kebanyakan orang malu untuk berbincang tentang tajuk seksualiti. Sekolah mengajar penggunaan alat pencegah kehamilan (IUCD) di tingkatan satu. IUCD adalah perkara yang kami ajar kepada pelajar perubatan dalam kurikulum sekolah perubatan.

“Apabila statistik menunjukkan kehamilan gadis belasan tahun lebih tinggi dalam kalangan gadis berusia 15 tahun, kami buat keputusan untuk ajar pendidikan seks lebih awal iaitu pada tingkatan satu atau 13 tahun.

“Adakah perkara ini difikirkan dengan semasak-masaknya? Sekolah tidak mengajar tentang perlakuan seks dan menjelaskan kesan dan akibatnya. Mereka yang tidak tahu kesan akibat melakukan hubungan seks akhirnya membuatkan budak perempuan itu mengandung dan menanggung akibatnya kemudian hari,” tambahnya.

Mengakui terdapat kekurangan pengetahuan tentang kesihatan pembiakan seksual dalam kalangan rakyat Malaysia, katanya, tinjauan 2015 yang disokong Kementerian Kesihatan menunjukkan 35 peratus remaja perempuan di negara ini percaya mengadakan hubungan seks pertama kali tidak akan membuatkan mereka hamil. Manakala seorang daripada lima rakyat Malaysia percaya infeksi menular seksual (STI) boleh dijangkitkan oleh nyamuk, satu tafsiran yang amat memeranjatkan.

Dr. Aizura Syafinaz berkata, ibu bapa perlu dipersalahkan kerana tidak membantu anak-anak mereka memahami tentang proses hubungan seksual serta pembiakan manusia sambil menambah keadaan itu disebabkan halangan kebudayaan serta cara ibu bapa itu dibesarkan.



SEKS SUKA SAMA SUKA

Kajian menunjukkan ramai gadis belasan tahun di bawah usia 16 tahun menjadi hamil kerana kegiatan seksual suka sama suka belum nikah.

Dr. Aida Syarinaz berkongsi teori kasih sayang yang menjalin hubungan antara anak dengan penjaga dan yang akan menentukan hubungan masa depan mereka.

“Kasih sayang adalah ikatan emosi dengan seseorang. Ikatan kasih sayang yang dijalin antara anak dengan penjaga dari peringkat usia kecil memberi kesan mendalam yang akan berterusan sepanjang hayat.

“Kanak-kanak yang disayangi lazimnya mempunyai nilai harga diri yang lebih baik, begitu juga sikap berdikari ketika mereka membesar. Biasanya mereka juga lebih berjaya dalam hubungan sosial dan kurang mengalami kemurungan serta rasa kerisauan. Kegagalan mendapat kasih sayang semasa kecil boleh memberi kesan negatif dalam kehidupan dewasa mereka,” katanya.

Menurut Dr. Aida Syarinaz, dalam keadaan apabila anak perempuan mengandung, ibu bapa perlu belajar untuk menerima keadaan itu dan menangani masalah itu dengan cara paling baik. Sikap menolak kenyataan tidak akan membantu menyelesaikan masalah anak yang mengandung.

“Ibu bapa biasanya berasa tidak selesa berbincang tentang isu seksual dengan anak belasan tahun mereka dan membiarkan anak itu mencari maklumat dari media dan rakan sebaya,” tambahnya.



Sunber : Utusan Harian



LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA