Header Ads

Sanggup Menculik Anak Saudara Demi Dadah

TERTUDUH dibawa anggota polis untuk didakwa kerana menculik dan mencederakan anak saudaranya di Mahkamah Majsitret Kulim, Kedah, hari ini.


Seorang penganggur dihukum penjara selama tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan iaitu menculik serta mencederakan anak saudara perempuannya berusia tujuh tahun, 9 Februari lalu.

Majistret R. Manomani menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Abd. Rahim Osman, 35, mengekalkan pengakuan bersalah selepas dua pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun bagi kesalahan menculik Wan Nur Ainul Darwisyah Amri dan hukuman penjara dua tahun serta dua sebatan bagi kesalahan mendatangkan kecederaan terhadap kanak-kanak perempuan terbabit.
Manomani memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan dijalankan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 9 Februari lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd. Rahim didakwa menculik Wan Nur Ainul Darwisyah dengan mengurung mangsa secara salah di dalam sebuah rumah di Taman Serai Wangi, Padang Serai di sini kira-kira pukul 6 petang, 9 Februari lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa menggunakan sebilah pisau di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Alif Farhan Hassan sementara tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Pada 11 Februari lalu, seorang lelaki yang disyaki penagih dadah menjadikan anak saudara perempuannya berusia tujuh tahun sebagai tebusan selama kira-kira enam jam di dalam tandas sebuah rumah di Taman Serai Wangi, Padang Serai di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, dia yang dipanggil Pak Su berusia 34 tahun dikatakan pergi ke rumah kakaknya itu dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari Felda Ijok, Selama, Perak dipercayai untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Lelaki itu bagaimanapun mengamuk apabila tidak mendapat wang kerana ketika kejadian hanya tiga anak saudaranya termasuk mangsa, Wan Nur Ainul Darwisyah berada di rumah tersebut.

Suspek berjaya ditahan polis ketika mahu melarikan diri melalui pintu belakang rumah dengan menggunakan motosikal.


Sumber : UTUSAN ONLINE



LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA