Header Ads

Liew Wai Keong Didakwa Menyebabkan Kematian Seorang Lelaki Warga Emas

TUKANG masak, Liew Wai Keong dibawa keluar oleh anggota polis dari kamar Mahkamah Majistet Ipoh selepas didakwa menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas



Seorang tukang masak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun dalam kejadian di Jalan Theatre, Pekan Baru pada awal Februari lalu.

Tertuduh, Liew Wai Keong, 46, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menyebabkan kematian Goh Guan Cheong, 63, dengan melakukan perbuatan gopoh dan cuai.

Perbuatan tersebut dilakukan tertuduh di tangga hingga kaki lima bangunan Qiong Hai Assosiation, Jalan Theatre, Pekan Baru antara pukul 11 pagi hingga 12 tengahari pada 2 Februari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala tertuduh diwakili peguam, Datin K. Shamini.

Nurul Hafizah membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan 27 Mac depan untuk tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat mangsa.

Utusan Malaysia pada 3 Februari lalu melaporkan, Guan Cheong cedera parah setelah ditetak oleh seorang lelaki yang mahu menyelamatkan ibunya daripada dicekik.

Lelaki terbabit yang kritikal dan koma itu bagaimanapun meninggal dunia setelah dua minggu dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)

Dalam kejadian pergaduhan antara jiran yang menyewa bilik-bilik di premis itu, seorang lelaki warga emas, Chai Ah Kin, 83, turut maut dengan kesan luka di bahagian dada akibat ditikam dengan senjata dipercayai sudu.

Sumber : Utusan Online



LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA