Lorong Tikus 'MEWAH'
KAWASAN dalam gudang dijadikan tempat tidur sementera PATI. |
Sebelum ini, kawasan laluan itu agak sunyi daripada sebarang aktiviti penyeludupan migran sejak tiga tahun lalu selepas pihak berkuasa Malaysia dan Thailand membongkar kegiatan itu dengan penemuan penjara dan ratusan kubur di Bukit Wang yang terletak berhampiran.
Kawasan itu dijadikan sarang menempatkan PATI sebelum dihantar ke lokasi tertentu di seluruh negara.
Namun, kini laluan haram sekitar Wang Kelian dipercayai kembali aktif selepas Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman dengan kolaborasi khas bersama Harian Metro menahan lapan warga Myanmar berusia antara 30-an hingga 40-an termasuk seorang penjaga dalam ‘pintasan’ dilakukan di sebuah kilang perabot ditinggalkan di Napoh, Jitra di sini, kelmarin.
Op Pintas yang diketuai Asisten Superintendan Mohamad Sukri Ishak itu melakukan intipan beberapa hari sebelum serbuan dibuat kira-kira jam 7.30 pagi.
Siasatan mendapati semua mereka memasuki negara ini melalui lorong tikus di sekitar Wang Kelian.
PATI terbabit juga dipercayai membayar antara RM5,000 hingga RM16,000 seorang yang dikenakan sindiket mengikut lokasi asal mereka sama ada di Bangladesh atau Myanmar.
Ketua Penolong Pengarah D7C, Datuk Maszely Minhad mengesahkan kejayaan itu dan pihaknya akan mempergiatkan operasi bagi memerangi sindiket penyeludupan itu.
“Op Pintas kali ini menahan lapan warga Myanmar. Kami percaya, PATI ditinggalkan di kilang perabot terbiar sebelum ejen ataupun transporter membawa mereka ke Pulau Pinang.
“Semuanya masih dalam siasatan kami termasuklah individu yang bertanggungjawab mendalangi aktiviti ini. Hasil siasatan awal, PATI berkenaan dikatakan membayar ribuan ringgit kepada sindiket,” katanya.
Maszely berkata, sindiket dipercayai menyeludup PATI terbabit menggunakan laluan berbukit sekitar Wang Kelian.
“Kami di D7C Bukit Aman tidak akan berkompromi dengan sindiket terbabit.
“Kita akan mempergiatkan operasi termasuklah membanteras sindiket yang mendalangi kegiatan berkenaan,” katanya.
Terdahulu, wartawan Skuad Khas Harian Metro bersama pasukan D7C bergerak dari Butterworth ke Kedah dan Perlis, jam 4 petang, Isnin lalu, selepas mendapat maklumat awam mengenai aktiviti penyeludupan migran.
Mohamad Sukri yang mengetuai operasi berkenaan melakukan taklimat dan menerangkan perancangan bagi menjayakan Op Pintas.
Anggota operasi dipecahkan kepada empat pasukan serbuan dan bergerak ke beberapa lokasi berbeza sekitar Jitra, Changlun, Padang Besar serta Kangar sementara menunggu penghantaran dilakukan.
Sekitar jam 7 malam, maklumat diterima mendedahkan transporter terbabit sedang bergerak dari Jitra ke kawasan Kaki Bukit Wang Kelian untuk mengambil PATI.
Risikan dan semakan mendapati transporter menggunakan kereta sewa Proton Saga BLM untuk tujuan berkenaan.
Pasukan serbuan bersama Skuad Khas Harian Metro terus berlegar-legar sekitar Changlun, Jitra dan Bukit Kayu Hitam bagi mengelakkan kehadiran dihidu sindiket.
Pada jam 5 pagi kelmarin, pemerhatian mendapati kenderaan disyaki membawa PATI berada di kawasan Changlun.
Susulan itu semua empat pasukan mengubah lokasi termasuk sebahagiannya mengekori kenderaan digunakan suspek.
Transporter dilihat meninggalkan semua migran di hadapan sebuah kilang yang tidak lagi digunakan.
Bayang seorang lelaki dipercayai penjaga dilihat memandu arah semua migran ke dalam kilang terbabit.
Kawasan kilang menyebabkan Mohamad Sukri, mengingatkan semua pasukan serbuan berwaspada dan mengutamakan keselamatan.
Dia kemudian mengarahkan pertemuan tidak jauh dari kawasan itu bagi merangka strategi.
Hasil perbincangan, serbuan segera dilakukan dan berhasil menemui semua PATI baru diseludup masuk.
Pemerhatian wartawan mendapati, kilang yang tidak lagi digunakan itu cukup daif dan semua PATI dibiarkan berbaring di atas lantai secara berasingan.
Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.
Sumber : My Metro
Post a Comment