(Video) "Menghina Nabi Adalah Kerja Bodoh" - Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR 27 Feb. - Sikap sekelompok mereka yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW, dianggap sebagai tindakan tidak berakal serta merupakan perbuatan jahat.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya perbuatan sebegitu dibenarkan atas alasan kebebasan bersuara, maka kefahaman tersebut adalah sesat.
Baginya, perbuatan itu juga salin tidak tumpah seperti Islamofobia dan perangai zaman penjajah yang menghina pihak lain. “Tidak boleh, kita kena tegas. Kita kena bezakan antara hak dan kebebaskan menyuarakan pandangan, memberikan teguran, mengkritik atau mempersoalkan beberapa aspek fahaman agama, itu masih boleh.
“Tetapi untuk menghina akidah, keyakinan orang dan menghina rasul, itu kerja bodoh, kerja jahat yang tidak menguntungkan negara. Kalau ada orang anggap ini sebagai bebas dan liberal, ini maknanya fahaman mereka sesat,” katanya kepada pemberita selepas majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Ke-33 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kontroversi sejak kebelakangan berhubung tindakan beberapa individu menghina Nabi Muhammad dalam pelbagai platform laman media sosial, sekali gus mencetuskan rasa marah dalam kalangan umat Islam.
Anwar menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dengan tidak bertoleransi terhadap sikap buruk itu kerana boleh mengundang kesan tidak baik kepada rakyat dan negara.
“Mereka menghina satu keyakinan. Menghina rasul yang bagi orang Islam merupakan contoh terbaik bagi mereka. Oleh demikan tidak boleh, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera dan tegas,” katanya.
Sementara itu, Anwar sekali lagi menekankan tidak wujud usaha dalam Pakatan Harapan (PH) untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menjelaskan ia satu dakwaan yang sekadar mahu memecah-belahkan PH.
Presiden PKR itu juga berkata, beliau mempunyai maklumat dan bukti berhubung dakwaan Pas membayar lebih RM1 juta kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, kononnya bagi menyelesaikan saman antara kedua-dua pihak di luar mahkamah.
Sumber - Utusan
Post a Comment