Papagomo Didakwa Mengaib, Mencederakan Syed Saddiq
KAJANG: EXCO Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua tuduhan mengaib dan mendatangkan kecederaan ke atas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Wan Muhammad Azri, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Rafngah.
Dia yang hadir bersongkok dan memakai kemeja serta seluar biru, tiba ke mahkamah seawal jam 8.30 pagi dengan ditemani Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Wan Muhammad Azri didakwa mengaibkan kehormatan, Syed Saddiq, dengan menyebut perkataan, “Ko Bodoh” di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian, di sini, pada jam 11.05 pagi, 16 Februari lalu.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahu atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, Wan Muhammad Azri didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Syed Saddiq di bahagian leher dan bahu, di tempat, masa dan tarikh sama.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria, menawarkan ikat RM30,000 dengan seorang penjamin terhadap OKS dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Wan Muhammad Azri dalam rayuannya menerusi peguam Nik Saiful Adli Burhan, memohon dikenakan jaminan rendah di bawah RM5,000 dengan alasan perlu menanggung isteri tidak bekerja dan lima anak yang masih kecil.
“Mangsa dalam kes ini adalah seorang menteri yang dikawal ketat dan sekiranya diganggu beliau boleh membuat laporan polis,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan Wan Muhammad Azri diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan menetapkan 1 April ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
OKS kemudian membayar wang ikat jamin dan keluar dari kompleks mahkamah kira-kira jam 12 tengah hari.
Sebelum ini, Syed Saddiq membuat laporan mendakwa dicekak dalam satu insiden sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada jam 10.45 pagi, 16 Februari lalu.
Pada 21 Februari lalu iaitu sehari selepas dibebaskan dengan jaminan polis, Papagomo membuat satu laporan polis terhadap Syed Saddiq atas dakwaan membuat laporan palsu terhadap dirinya.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dengan menyifatkan insiden kononnya beliau menyerang Syed Saddiq selepas penamaan calon itu sebagai perselisihan faham.
PEMUDA
UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenal sebagai Papagomo
didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini, atas dua tuduhan mengaib
dan mencederakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul
Rahman. - Foto Rosela Ismail
Sumber :BERITA HARIAN
Sumber :BERITA HARIAN
Post a Comment