Header Ads

Tiada lagi pengurangan Perkhidmatan Jalur Lebar Tahun Ini - Gobind Singh





KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengumumkan sebarang pengurangan harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia pada tahun ini kerana telah mencapai sasaran seperti yang ditetapkan tahun lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata pada permulaan kerajaan mahu menggandakan kelajuan perkhidmatan jalur lebar pada harga rendah untuk dinikmati rakyat Malaysia.

Katanya, selepas kerajaan mengumumkan hasrat berkenaan, pertemuan bersama syarikat telekomunikasi tempatan diadakan bagi merealisasikan perkara itu dan hasilnya adalah pengurangan harga yang besar.

"Apa yang kita lihat, terdapat banyak syarikat telekomunikasi menurunkan harga lebih dari separuh bagi perkhidmatan jalur lebar yang ditawarkan.

"Sebagai contoh, Maxis Bhd kurangkan harga pakej sehingga 57 peratus manakala, Telekom Malaysia Bhd (TM) turut mengambil langkah pengurangan selain memperkenal beberapa produk mampu milik yang baharu.

"Justeru, untuk tahun ini kita tidak akan laksanakan lagi pengurangan harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia kerana sudah mencapai sasaran," katanya pada sidang media selepas Program Jom Bersama Menteri di Menara TM di sini, hari ini.

Program berkenaan turut disertai Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Sr Mohd Ali Mohamad Nor; Pengerusi TM, Rosli Man dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TM, Imri Mokhtar.

Lebih 1,000 warga TM hadir ke program berkenaan bagi menyambut ketibaan Gobind yang diikuti dengan sesi interaksi yang disertai 20,000 kakitangan TM melalui slot sidang video dari seluruh negara termasuk di Jakarta.

Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran peserta industri lain bagi membangunkan sektor telekomunikasi, Gobind berkata, buat masa ini hanya Tenaga Nasional Bhd (TNB) satu-satunya syarikat tempatan yang bersedia dengan infrastruktur yang diperlukan.

"Kita boleh lihat TNB kini bersedia untuk menembusi dan bersama menyumbang dalam industri telekomunikasi yang terbukti melalui projek perintisnya di Jasin, Melaka pada tahun lalu," katanya.

Projek perintis TNB itu meliputi 1,100 daripada 4,300 rumah di tiga kawasan iaitu Taman Merbau, Taman Maju dan Felda Kemendor di negeri berkenaan.
Dalam pada itu, Gobind turut melihat TM berada pada kedudukan yang baik untuk melonjakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital di Asia Tenggara.

Katanya, syarikat telekomunikasi itu dapat merealisasikannya dengan memanfaatkan sambungan global yang meluas, infrastruktur rangkaian selain himpunan kepakaran syarikat.

-Sumber Berita Harian