Header Ads

Baru Empat Hari, Upin & Ipin Kaut RM5.3 juta


LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik (kiri) dan Burhanuddin ketika melancarkan tayangan filem terbaru Upin & Ipin di ibu negara, baru-baru ini. Foto NSTP Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Biarpun dicemari insiden ‘curi rakam’, kutipan filem animasi Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal mencecah RM5.3 juta selepas ditayangkan di pawagam di seluruh negara, Khamis lalu.

Penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi berkata, jumlah itu diperoleh bagi tempoh empat hari pertama tayangan.

“Alhamdulillah... filem ini sudah mengutip RM5.3 juta. Kita berharap filem ini terus mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sepanjang tempoh tayangan.

“Saya berharap Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal mengulangi fenomena dan kemasyhuran judul terdahulu.

“Mengikut perancangan, filem ini akan ditayangkan di Vietnam pada 27 April depan, disusuli Indonesia pada 9 Mei. Kita juga berharap filem ini menembusi pasaran China dan Taiwan,” katanya kepada BH Online.

Semalam, BH Online melaporkan, filem yang menelan belanja RM20 juta itu menjadi mangsa ‘curi rakam’ apabila visual lebih empat minit menggunakan telefon pintar, dimuat naik di laman sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri dilaporkan berkata, tindakan pantas pasukan khas agensi itu berjaya ‘menarik’ keluar rakaman itu daripada tular.

Filem terbitan Les' Copaque yang membabitkan 100 peratus kepakaran anak tempatan itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara, sejak Khamis lalu.


Burhanuddin berkata, pihaknya membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi menghasilkan filem terbaru Upin & Ipin itu.

“Saya merayu orang ramai agar tidak melakukan apa yang dikatakan ‘curi rakam’ ketika menonton filem ini di pawagam.

“Ini kerana masih ramai peminat yang belum berpeluang ke pawagam untuk menonton. Filem animasi ini dihasilkan secara berkualiti untuk pasaran global, jadi saya minta usah viralkan karya ini secara percuma,” katanya.

Burhanuddin turut merakamkan penghargaan kepada FINAS yang mengambil tindakan pantas melalui pasukan khas untuk 

‘menarik’ keluar rakaman video terbabit.

“Syarikat turut mengenal pasti sebuah portal yang merancang untuk memuat naik filem ini dalam portal mereka.

“Kami sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan menyekat portal terbabit,” katanya.

Burhanuddin mengaku terkilan dengan sikap segelintir pihak yang mahu mengaut keuntungan secara mudah.

“Kami juga memantau bagi membanteras rakaman dan muat naik filem ini secara haram,” katanya.

SUMBER - BERITA HARIAN

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?