Header Ads

Bunuh CEO Cradle Fund : Isteri, 2 Anak Tiri Didakwa Petang Ini


KUALA LUMPUR: Isteri dan dua anak tiri Allahyarham Nazrin Hassan akan didakwa di mahkamah, petang ini, berhubung kes pembunuhan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata Samirah Muzaffar, 43, dan dua anak lelakinya berusia 15 serta 17 tahun, akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada jam 2 petang.

“Pihak Jabatan Peguam Negara mengeluarkan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan terhadap mereka.

“Tiga individu itu ditahan di kediaman mereka pada jam 6.45 pagi ini dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, petang nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 22 Februari lalu, polis menyerahkan laporan bedah siasat kali kedua ke atas Allahyarham Nazrin kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, dilaporkan berkata sebarang tindakan lanjut akan diketahui selepas mendapat maklum balas dan keputusan daripada pihak terbabit.


Allahyarham Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun tahun lalu, dipercayai akibat kebakaran selepas telefon bimbit di dalam biliknya meletup.

Bagaimanapun, dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikannya semula sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.

Polis kemudian menyoal siasat anggota keluarganya, termasuk menahan reman isteri dan dua anak tirinya.



Pada 8 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan kubur Allahyarham Nazrin digali semula supaya bedah siasat kedua dapat dijalankan bagi mencari bukti baharu mengenai kematiannya.

Jenazah Allahyarham Nazrin kemudian dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Seksyen 6 Kota Damansara pada 15 Oktober lalu.

SUMBER - BERITA HARIAN


LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?