Gerak Hati Isteri Dapat Berita Buruk Jadi Kenyataan
KLUANG: Gerak hati seorang isteri, Norazilah Ahmad, 46, akan mendapat berita sedih selepas hatinya berdebar-debar rupa-rupanya menjadi kenyataan apabila suaminya, Mohd Ashri Othman, 50, maut dalam kemalangan di FELDA Kahang Timur, petang tadi .
Dalam kemalangan itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang juga pemandu ambulans, Mohd Ashri, dan rakan setugas, Siti Murni Amat Khalid, 34, disahkan maut di tempat kejadian, masing-masing akibat parah di kepala dan anggota badan.
Dua lagi anggota APM dalam kenderaan itu, Mohd Faizal Jalil, 30, yang duduk di bahagian penumpang hadapan, dan Nurul Hajira Narizan, 28, di bahagian belakang, hanya mengalami kecederaan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Anak sulung Mohd Ashri, Nurul Syafiqah, 23, berkata kali terakhir dia bertemu dengan ayahnya itu kira-kira jam 7 pagi tadi, sebelum pergi ke tempat kerja masing-masing.
Katanya, ketika ayahnya balik ke rumah tengahari tadi, ibunya ada menyatakan hatinya berasa tidak sedap hati selain mata sering berkedip seolah-olah akan mendapat berita buruk.
“Tidak disangka apa yang ibu sangkakan betul-betul berlaku, malah ia membabitkan orang yang kami sayang walaupun pada asalnya tidak mahu percaya dengan telahan ibu itu.
“Ini kerana, sepanjang dua minggu kami bersama selepas saya balik bercuti semester, arwah ayah sentiasa ceria seperti biasa, terutama apabila tiga anak-anaknya berkumpul,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata kejadian berlaku ketika semua anggota terbabit dalam perjalanan pulang dari Hutan Lipur Gunung Berlumut sebaik Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Johor yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.
“Siasatan mendapati ketika sampai di tempat kejadian, ambulans yang dipandu Mohd Ashri, hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar papan tanda menyebabkan kenderaan itu terbalik dan berpusing.
“Akibat kejadian itu, Mohd Ashri dan Siti Murni yang berada di bahagian belakang parah di bahagian muka dan badan serta disahkan maut di tempat kejadian.
“Jenazah kedua-dua mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyatà an, hari ini.
Mohd Abduh berkata, Mohd Faizal dan Nurul Hajira yang hanya mengalami kecederaan dan dirawat sebagai pesakit luar.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar,” katanya.
SUMBER - BERITA HARIAN
SUMBER - BERITA HARIAN
LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
Post a Comment