Header Ads

Kerajaan Akan Tetap Salur Dana kepada PDRM

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA


KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad memberi komitmen bahawa kerajaan akan tetap menyalurkan segala peruntukan diperlukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun ia melibatkan kos tambahan. Perdana Menteri berkata ini bagi memastikan pasukan benteng keselamatan negara itu mempunyai kelengkapan yang sesuai dan terkini.

 "Kerajaan prihatin terhadap keperluan pasukan polis untuk meningkatkan keupayaannya terutama pada masa kini di mana beban tugas yang semakin mencabar,"

katanya dalam amanatnya pada majlis sambutan Peringatan Hari Polis ke-212 di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar, Peguam Negara Tommy Thomas dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. 

Dr Mahathir berkata berdasarkan perkembangan dan cabaran semasa, PDRM bukan sahaja berhadapan cabaran dalam konteks jenayah konvensional, tetapi juga ancaman pengganas atau terroris yang adakalanya amat luar biasa dan ini, menuntut agensi keselamatan terutama PDRM untuk menanganinya secara tegas, strategik dan berkesan.

Dalam konteks ini, beliau berkata kerajaan berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan keupayaan yang diperlihatkan anggota keselamatan seperti PDRM dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.

Ini termasuklah dalam menangani ancaman militan Daesh di negara ini, apabila sehingga kini menurutnya, seramai 464 anggota kumpulan pengganas terbabit telah berjaya ditangkap pihak polis. 

"Kerajaan percaya ini dapat dicapai kerana PDRM dan anggota keselamatan yang lain memiliki pasukan risikan yang mampu menangani isu yang kompleks membabitkan kumpulan militan ini," katanya.

Perdana Menteri turut mengucapkan syabas kepada PDRM kerana mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penurunan indeks jenayah negara apabila sepanjang tahun lepas hanya 88,662 kes direkodkan, berbanding nilai ambang sasaran sebanyak 100,611 kes.

"Ia adalah penurunan sebanyak 11.9 peratus. Statistik ini membuktikan komitmen PDRM untuk memenuhi harapan masyarakat yang sekarang ini amat peka terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan mereka," katanya. 

Dr Mahathir turut menyeru setiap lapisan rakyat agar terus bekerjasama dan membantu PDRM dalam menangani perlakuan jenayah serta membanteras usaha dan tindakan anasir-anasir yang cuba menggugat kedaulatan negara dan ketenteraman rakyat. 

"Rakyat perlu sedar walaupun amanah untuk menjaga keselamatan negara terletak di bahu PDRM, keberkesanan tindakan-tindakan mereka bergantung kepada kerjasama kita. "

"Kerana itu, slogan memerangi jenayah tanggungjawab bersama yang sering kita dengar pada masa lalu adalah sesuatu yang perlu kita hayati dan praktikkan," katanya.

Mengucapkan selamat menyambut Hari Polis ke-212, Dr Mahathir turut berharap semua anggota PDRM akan terus bersemangat memberi khidmat mereka demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan negara.

"Yakinlah, ia satu khidmat yang mulia dan diberkati...bagi pihak kerajaan Malaysia saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga PDRM atas segala khidmat dan pengorbanan yang dicurahkan."

 "Sesungguhnya, dedikasi dan khidmat bakti seluruh warga pasukan PDRM akan terus dihargai dan dikenang oleh negara dan seluruh rakyat Malaysia serta generasi kita yang akan datang," katanya yang turut mendoakan roh anggota polis yang gugur sentiasa dicucuri rahmat.

 -- BERNAMA 

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?