Header Ads

Pembayar Cukai Gagal Kemaskini Maklumat Peribadi, Akaun Bank Punca Proses Bayar Balik Gagal





PUTRAJAYA, 18 Mac (Bernama) -- Kegagalan segelintir pembayar cukai mengemaskini maklumat peribadi dan akaun bank mereka, telah mengakibatkan proses bayaran balik tidak dapat disempurnakan, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN dalam satu kenyataan hari ini berkata berdasarkan rekod, sebanyak 6.22 peratus atau RM486.29 juta amaun lebihan cukai gagal dibayar balik bagi tahun lepas.

"Pemprosesan bayaran balik cukai terlebih bayar merupakan keutamaaan LHDN dalam memastikan setiap pembayar cukai yang layak akan menerima bayaran balik cukai dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Menurut LHDN, antara punca bayaran balik lebihan cukai gagal diproses ialah disebabkan cek atau baucar bayaran balik cukai tidak diterima oleh pembayar cukai dan dikembalikan semula kepada LHDN akibat perbezaan alamat tempat pembayar cukai dengan alamat yang didaftarkan dengan LHDN.

Selain itu, maklumat bank, nombor akaun dan nombor pengenalan diri/pendaftaran syarikat atau pertubuhan yang terdapat dalam pangkalan data LHDN tidak sepadan dengan rekod dan maklumat pembayar cukai yang terdapat pada pihak bank, dan akaun bank pembayar cukai telah ditutup atau tidak lagi aktif, katanya.

Justeru, LHDN menasihatkan pembayar cukai supaya mengisi maklumat terkini dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) tahunan mereka bagi membantu LHDN mengurangkan kadar peratusan kegagalan pemprosesan bayaran balik cukai terlebih bayar.

Menurut kenyataan itu, pembayar cukai juga boleh menggunakan kemudahan sistem e-Kemaskini atau borang maklum balas yang boleh diakses di www.hasil.gov.my pada bila-bila masa untuk mengemaskini maklumat peribadi dan perbankan mereka secara dalam talian.

Antara maklumat terkini dan penting yang diperlukan untuk mempercepatkan proses bayaran balik cukai terlebih bayar ialah nombor pengenalan diri, nombor akaun bank, alamat surat-menyurat, nombor telefon, alamat e-mel dan nombor pendaftaran syarikat atau pertubuhan (bagi pembayar cukai kategori syarikat / pertubuhan).


Mulai 1 Januari 2020, bayaran balik cukai pendapatan akan dilaksanakan sepenuhnya menggunakan kaedah bayaran elektronik (e-payment), katanya.

“Ini selaras dengan seruan kerajaan bagi memelihara kelestarian alam sekitar dalam mempromosikan kempen Go Green iaitu memastikan pengurangan kertas cetakan.


"LHDN juga akan meningkatkan pelaksanaan transkasi bayaran balik cukai pendapatan secara dalam talian melalui kaedah Pemindahan Dana Elektronik,"
katanya.


SUMBER - BERNAMA

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?