Header Ads

Sime Darby Property Sasar Jualan RM2.3 Bilion




    Sime Darby Property mencapai satu pertiga lebih tinggi daripada sasaran awal jualan RM1 bilion.

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd (SDP) menyasarkan jualan sebanyak RM2.3 bilion tahun ini, selepas melepasi sasaran jualan enam bulan berakhir 31 Disember 2018.

Dalam satu kenyataan hari ini, SDP berkata syarikat sudah mencapai satu pertiga lebih tinggi daripada sasaran awal jualan RM1 bilion bagi tempoh enam bulan, iaitu sebanyak RM1.34 bilion.

“Menerusi legasi aset dan produk yang sedia ada, kami menjangkakan pulangan segera bagi keuntungan berikutan prestasi operasi syarikat adalah positif.

“Pelancaran di sepanjang tempoh berkenaan juga diterima dengan baik dan kami menjangkakan prestasi ini akan berterusan pada separuh pertama 2019,” kata Pengerusi SDP, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

SDP berkata, permintaan bagi produk unit atas tanah di Serenia City, Selangor terus kukuh dengan 99 peratus Serenia Adiva sudah dijual pada Oktober.

Pada Julai, syarikat merekodkan jualan 81 peratus daripada Ayra, iaitu projek rumah dua tingkat di Bandar Bukit Raja, Klang.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata kelembapan pasaran hartanah terus menjadi cabaran utama, namun kumpulan akan terus optimis menerusi usaha bersepadu daripada sektor awam dan swasta.

“Kami juga akan terus mengkaji semula perancangan bagi tahun ini untuk memastikan strategi harga dan pelancaran kami pada masa depan mampu memenuhi permintaan pasaran,” katanya.

SDP menjangkakan prestasi memuaskan bagi tahun kewangan 2019, dengan mengambil kira situasi pasaran hartanah yang perlahan.

Selain usaha berterusan untuk mengurangkan inventori, syarikat berkenaan akan terus melancarkan pembangunan hartanah pada harga mampu milik dan sederhana, iaitu antara RM500,000 hingga RM800,000.

Selain itu, syarikat berkenaan juga mensasarkan jualan belum dibilkan sebanyak RM2.0 bilion bagi 2019.

Amrin berkata, ekonomi negara sudah terbukti berdaya tahan dengan pertumbuhan 4.7 peratus tahun lalu dan jangkaan pertumbuhan lebih mapan pada 2019 akan memberi kesan positif terhadap sentimen pengguna, meskipun berlaku pelarasan berterusan dalam pasaran hartanah.

SDP mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM318.7 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2018, berbanding keuntungan bersih berjumlah RM559.77 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

SUMBER -BERITA HARIAN

 
LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA