Header Ads

Isu Indikator 'K': Malaysia Serah Nota Bantahan Kepada AS

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
Subscribe Channel Kami di Youtube

PUTRAJAYA: Wisma Putra sudah memanggil Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir semalam untuk mendapatkan penjelasan berhubung keputusan kerajaan negara itu meletakkan Malaysia dalam indikator ‘K’ bagi nasihat perjalanan, dikeluarkan 9 April lalu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini, berkata satu nota bantahan turut diserahkan Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin kepada Lakhdhir dalam pertemuan itu.

“Nota itu bagi menyatakan bantahan kerajaan Malaysia terhadap keputusan AS yang tidak mencerminkan realiti sebenar terutamanya penambahbaikan situasi keselamatan di wilayah timur Sabah.

“Duta AS mengambil maklum bantahan dibuat kerajaan Malaysia dan akan menyampaikan bantahan itu kepada Washington,” katanya.

Menurut kenyataan itu, dalam pertemuan berkenaan, Duta AS turut menjelaskan bahawa nasihat perjalanan AS bagi setiap negara dikategorikan kepada empat tier, yang diberikan berdasarkan penilaian kerajaan AS berkaitan keadaan dan situasi kawalan keselamatan.

“Berdasarkan tahun sebelum ini, Malaysia diletakkan dalam Tier 1, dikategorikan sebagai negara selamat dan risiko paling rendah.

“Namun berdasarkan penjelasan, wilayah timur Sabah dikategorikan sebagai indikator ‘K’ iaitu mempunyai risiko penculikan dan dijadikan tebusan disebabkan kebimbangan negara itu dalam jenayah berkenaan.

Difahamkan dalam penilaian nasihat perjalanan sebelum ini, kawasan berkenaan dikategorikan dengan indikator ‘C’ (jenayah) dan ‘T’ (keganasan) yang mana membawa pengertian lebih luas,” katanya.

Kementerian Luar berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju supaya kerajaan Malaysia dapat dimaklumkan terlebih dahulu sebelum pengumuman perkara berkenaan dibuat pada masa akan datang.

“Kementerian Luar turut menegaskan bahawa soal keselamatan pelancong yang datang ke Malaysia termasuk di timur Sabah tetap menjadi keutamaan.

“Malaysia sudah mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan keselamatan di timur Sabah yang mana ia ditunjukkan menerusi penurunan ketara kes penculikan kepada hampir tiada kes dilaporkan tahun lalu,” katanya.

Berdasarkan rekod, Malaysia berterusan menjadi lokasi pilihan pelancong AS, yang mana tahun lalu merekodkan peningkatan 27.9 peratus ketibaan pelancong dari negara itu, membabitkan 253,384 orang.

SUMBER - BERITA HARIAN

           Subscribe Channel Kami di Youtube
LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?