JKKP Kompaun Pengurus Projek
PENGARAH JKKP Perak, Zamzurin Maarof (dua dari kanan) membuat pemeriksaan di sebuah kilang di Batu Gajah, hari ini. - Foto Farah Suhaidah Othman |
BATU GAJAH: Akibat menggaji pengendali kren yang tiada lesen, seorang pengurus projek sebuah tapak pembinaan di Meru, dikompaun RM20,000 oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Ini kali pertama JKKP Perak mengenakan kompaun ke atas individu berhubung pelanggaran aspek keselamatan di tapak pembinaan dalam ‘Operasi Cegah Jatuh Cegah Runtuh’ yang diadakan mulai 25 Februari hingga 25 Mac lalu.
Pengarah JKKP Perak, Zamzurin Maarof, berkata sebelum ini pihaknya mengenakan kompaun terhadap majikan berkaitan kegagalan mematuhi aspek keselamatan.
“Namun kali ini tindakan dikenakan kepada pengurus sebagai orang kena saman supaya individu terbabit bertanggungjawab untuk mementingkan keselamatan pekerja.
“Kami juga membuka kertas siasatan terhadap pengurus projek berkenaan,” katanya pada sidang media selepas membuat pemeriksaan di sebuah kilang di sini, hari ini.
Dalam operasi itu, JKKP memeriksa sebanyak 30 tapak pembinaan dan mengeluarkan 96 kompaun terhadap kontraktor dan pengurus projek kerana gagal mematuhi aspek keselamatan pekerja di tapak pembinaan.
JKKP juga mengeluarkan 155 notis larangan serta menyita dua tapak pembinaan kerana tidak mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja termasuk tepian terbuka membabitkan kerja pembinaan di tempat tinggi, lubang terbuka yang tidak ditutup dan pendawaian elektrik terdedah yang boleh mengancam keselamatan pekerja.
Zamzurin berkata, pihaknya juga mengambil tindakan ke atas majikan yang melakukan kesalahan lain termasuk kegagalan majikan menggaji Pegawai Keselamatan dan Kesihatan di tapak projek bernilai lebih RM20 juta.
“JKKP negeri juga mengambil tindakan terhadap Pegawai Keselamatan dan Kesihatan yang gagal menjalankan tanggungjawab sebagaimana termaktub di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.
Bagi kemalangan maut di tempat kerja, beliau berkata, sebanyak tujuh kemalangan maut di tempat kerja direkodkan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Empat daripadanya adalah kemalangan jalan raya membabitkan pemandu lori, manakala tiga lagi membabitkan pekerja dalam kemalangan industri.
SUMBER - BERITA HARIAN
SUMBER - BERITA HARIAN
Post a Comment