Malaysia Berjaya Kurangkan 33 Peratus Gas Rumah Hijau
SETIAUSAHA Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, R Jaya Singam. - NSTP/Azhar Ramli |
Setiausaha Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, R Jaya Singam, berkata sasaran awal adalah 45 peratus menjelang 2030, dengan 10 peratus daripadanya bersyarat iaitu pemindahan teknologi serta penerimaan bantuan kewangan dari negara maju.
Katanya, pengurangan kadar pelepasan gas rumah hijau itu adalah selaras dengan komitmen Malaysia yang disuarakan ketika memuktamadkan Perjanjian Paris pada Persidangan Iklim Paris 2015 (COP21).
“Kita berikrar pada 2009 untuk kurangkan 40 peratus intensiti pelepasan gas rumah hijau berbanding KDNK menjelang 2020, dan ketika di Paris, kita tingkatkan sasaran itu kepada 45 peratus menjelang 2030.
“Berdasarkan data terkini yang sudah disahkan iaitu pada 2014, kita berjaya mengurangkan sehingga 33 peratus,” katanya ketika ditemui selepas Syarahan Umum Kursi Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Mengulas mengenai hasrat kerajaan untuk menggubal Akta Perubahan Iklim, Jaya Singam berkata, perundangan itu masih di peringkat perancangan dan dijangka siap digubal dalam tempoh dua tahun.
Katanya, akta itu antara lain dijangka mewajibkan semua syarikat bagi setiap sektor ekonomi untuk mengemukakan laporan kadar pelepasan gas rumah hijau masing-masing.
“Jika ada akta, kita boleh wajibkan semua sektor ekonomi untuk membuat pengiraan dan melaporkan kadar pelepasan gas rumah hijau setiap tahun, supaya kita boleh lihat sektor mana yang perlu diberi tumpuan.
“Aspek lain mungkin daripada segi tanggungjawab antara Kerajaan Pusat dan negeri membabitkan perkara seperti tanah dan hutan,” katanya.
Jaya Singam berkata, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim juga berhasrat untuk mewujudkan Pusat Perubahan Iklim bagi mengintegrasi dan menyelaras pengumpulan data membabitkan perubahan iklim.
“Ketika ini, hanya ada empat pegawai yang bertanggungjawab terhadap perubahan iklim, sedangkan di Thailand ada kira-kira 300 orang.
“Pusat Perubahan Iklim ini akan mengumpulkan pakar dan data berkaitan bagi memudahkan usaha menggubal dasar dan membuat ramalan berkaitan perubahan iklim,” katanya, memaklumkan penubuhan pusat itu kini hanya menunggu lampu hijau daripada kerajaan.
SUMBER - BERITA HARIAN
Subscribe Channel Kami di Youtube
Post a Comment