Pemain ke-12 Urus KRW: Presiden Kafa
Bibi Ramjani |
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesahkan Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd akan diuruskan sepenuhnya oleh ‘Pemain Ke-12’ iaitu penyokong pasukan itu sendiri tidak lama lagi.
Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, proses pengambilalihan syarikat swasta yang bertanggungjawab menguruskan tiga pasukan iaitu skuad Liga Premier, skuad bawah 19 dan 21 tahun Kelantan sedang dilaksanakan ketika ini.
“Dalam proses (ambil alih). Ini sebenarnya langkah peralihan pengurusan (baharu) untuk (mengendalikan) pasukan Kelantan.
“Salah seorang BOD (ahli Lembaga pengarah) KRW Sdn Bhd yang baru adalah Syed Abdullah Syed Mahmood, Ketua Penyokong Persatuan Bola Sepak Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Pada 4 April lalu, pemegang saham terbesar dalam syarikat KRW Sdn Bhd iaitu MyInspiration Sdn Bhd memutuskan membatalkan perjanjian kerjasama dengan Kafa, berkuatkuasa serta-merta.
MyInspiration Sdn Bhd yang memiliki 70 peratus kepentingan dalam syarikat berkenaan menegaskan mereka tidak lagi boleh bekerjasama dengan badan induk bola sepak negeri itu.
Keputusan itu juga dibuat setelah MyInspiration Sdn Bhd mendakwa Kafa gagal mematuhi kontrak dengan menyerahkan kuasa penuh kepada KRW Sdn Bhd berdasarkan perjanjian ditandatangani kedua-dua pihak, pada 24 Januari lalu.
SUMBER - SINAR HARIAN
SUMBER - SINAR HARIAN
Post a Comment