Header Ads

Perlu Dana RM10 Bilion Beli Tanah Kampung Baru - Khalid

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
Subscribe Channel Kami di Youtube
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan memerlukan dana sehingga RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan bersepadu masyarakat Melayu di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, berkata dana sebanyak itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Bagaimanapun katanya, dana RM10 bilion diperlukan dengan syarat seluruh pemilik tanah di Kampung Baru bersetuju menerima tunai sebagai rundingan pengambilalihan tanah milik mereka untuk dibangunkan pemaju yang akan dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Masalah pembangunan di Kampung Baru satu saja, iaitu wang mencukupi untuk membeli seluruh tanah 250 ekar (100 hektar) daripada pemilik. Kita ingin ia dibangunkan secara terancang, tersusun dan bersepadu mengikut satu pelan menyeluruh.

“Kita tidak mahu bangunkan Kampung Baru dengan membeli sedikit demi sedikit tanah pemilik dan kemudian bangunkan secara runcit seperti dilaksanakan sebelum ini kerana ia tidak akan menghasilkan pembangunan yang terancang dan bersepadu.

“Sekiranya semua pemilih tanah mahu tunai dan tiada siapa yang mahu pangsapuri (sebagai pertukaran untuk tanah mereka) ini mungkin senario terburuk (dana) yang mungkin diperlukan antara RM6 bilion sehingga RM10 bilion,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Terdapat 2,388 pemilik tanah di Kampung Baru ketika ini dan usaha membeli tanah daripada pemilik pernah dilakukan kerajaan sebelum ini dengan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) tetapi sehingga kini masih buntu.

Khalid turut berkata, kerajaan masih mengkaji formula yang terbaik bagi membangunkan Kampung Baru termasuk rundingan bagi membolehkan pemilik tanah akan mendapat gabungan faedah antara wang tunai dan hartanah.

Katanya, pihaknya akan mencari jalan terbaik mendapatkan dana bagi menjayakan formula itu termasuk membenarkan DBKL mengeluarkan bon perbandaran atau sukuk seperti yang diamalkan di negara maju.

“Namun, ini semua bergantung kepada rundingan dengan pemilik tanah dan jenis pembayaran yang mereka mahu untuk tanah mereka,” katanya.

SUMBER - BERITA HARIAN

           Subscribe Channel Kami di Youtube
LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?