RON97 Naik 12 Sen; RON95, Diesel Kekal
PUTRAJAYA: Harga runcit petrol RON97 naik 12 sen kepada RM2.80 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal RM2.08 dan RM2.18 seliter, berkuat kuasa tengah malam ini.
Kementerian Kewangan memaklumkan, harga bahan api berkenaan ditetapkan bagi tempoh 20 hingga 26 April ini.
Katanya, kenaikan itu berikutan harga produk petroleum yang diproses dalam pasaran dunia menunjukkan trend peningkatan sehingga melebihi paras AS$80 setong.
“Berdasarkan pengiraan bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 20 hingga 26 April 2019 masing-masing sepatutnya naik 12 sen seliter, iaitu daripada RM2.38 kepada RM2.50 seliter dan naik tujuh sen seliter daripada RM2.39 kepada RM2.46 seliter, berikutan kenaikan harga purata minyak Dated Brent kepada AS$70.98 setong bagi tempoh 11 hingga 17 April 2019.
“Bagaimanapun, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh berkenaan dikekalkan pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter selaras keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum serta mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Pada minggu lalu, harga runcit petrol RON97 naik lima sen kepada RM2.68 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada harga RM2.08 dan RM2.18 seliter.
SUMBER - BERITA HARIAN
Subscribe Channel Kami di Youtube
Post a Comment