McMillan Woods Global Sumbang RM10,000 Untuk Suara Komuniti BH
KUALA LUMPUR: BH menerusi program Suara Komuniti menerima sumbangan RM10,000 daripada McMillan Woods Global sempena Anugerah Global McMillan Woods Kelapan di sini, malam ini.
Replika cek disampaikan Presiden McMillan Woods Global, Datuk Seri Raymond Liew, kepada Pengarang Komersial dan Ehwal Semasa BH, Salina Abdullah.
Suara Komuniti BH adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) BH yang memanfaatkan golongan memerlukan.
Antara program pernah dianjurkan ialah program bank makanan bergerak yang menyasarkan pelajar universiti dalam kalangan keluarga golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
Anugerah Global McMillan bertujuan mengiktiraf mereka yang cemerlang dalam industri masing-masing sehingga ke peringkat antarabangsa.
Anugerah berprestij itu menerima penyertaan dari negara ini, Australia, Kemboja, China, Cyprus, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Hong Kong, India, Iran, Jepun, Indonesia, Korea, Mauritius, Nepal, Filipina, Taiwan, Singapura, Thailand, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu, Liew berkata anugerah itu dirujuk sebagai ‘penerima anugerah’, bukan pemenang, kerana piala dan pengiktirafan adalah berdasarkan penilaian yang menunjukkan mereka layak menerima pengiktirafan tertinggi itu.
“Anugerah ini untuk mengiktiraf kecemerlangan mereka ke arah pembangunan ekonomi global,” katanya.
Pada majlis itu, pelakon Nur Fazura Sharifuddin; Diana Danielle; Joyce Tai Ling Ming (bintang Hong Kong); Evergreen Mak Cheung Ching (pelakon Hong Kong); gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi dan Leona Chin (pelumba kereta wanita kebangsaan) menerima anugerah untuk pencapaian masing-masing.
SUMBER - BERITA HARIAN
Subscribe Channel Kami di Youtube
Post a Comment