Header Ads

Arab Saudi, Ethiopia Pasaran Baharu Minyak Sawit

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
Subscribe Channel Kami di Youtube

MENTERI Industri Utama, Teresa Kok (tengah) ketika hadir pada Program Pertandingan Memasak Menggunakan Minyak Sawit Bersempena Kempen Sayangi Sawitku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Palong 7, hari ini. - Foto BERNAMA

JEMPOL: Arab Saudi dan Ethiopia berpotensi untuk dikembangkan sebagai pasaran baharu minyak sawit negara.


Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata usaha mempromosi minyak sawit ke negara berkenaan akan bermula dalam masa terdekat apabila timbalannya, Datuk Seri Iskandar Mohd Akin akan mengadakan lawatan minggu depan.

Katanya, dua negara itu adalah antara sasaran awal kerajaan dalam usaha meneroka pasaran baharu sebagai langkah jangka panjang memasarkan komoditi negara itu.


“Minggu depan, Timbalan Menteri (Iskandar) akan menghadiri seminar minyak sawit di Arab Saudi sebelum melawat Ethiopia.

“Semua ini adalah pasaran baharu dan beliau juga akan berusaha mempromosi minyak sawit negara ke kedua-dua negara itu,” katanya selepas merasmikan Program Pertandingan Memasak dengan minyak kelapa sawit (LMPOCC) sempena kempen Sayangi Sawit Malaysia 2019, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Chew Jit Seng dan Pengerusi Havys Oil Mill Sdn Bhd, Datuk Lim Kin Eng.

Mengulas lanjut, Kok berkata, usaha mempromosi minyak sawit negara juga akan dibantu oleh kementerian lain apabila menerima jemputan lawatan rasmi di luar negara.


“Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, sebelum ini memberitahu bahawa beliau juga akan membantu menarik minat Russia dan Iran untuk membeli minyak sawit negara apabila menghadiri mesyuarat berkaitan pertahanan di kedua-dua negara berkenaan.

“Ini juga adalah pasaran baharu untuk Malaysia, dan saya yakin ia akan menyumbang kepada inisiatif kerajaan untuk meningkatkan eksport minyak sawit ke negara luar,” katanya.


Ditanya mengenai usaha kerajaan mengeratkan hubungan dua hala China dan Malaysia, katanya, langkah itu juga diyakini akan menyumbang kepada peningkatan eksport komoditi tempatan.

Pihak Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan kementerian saya juga akan mengadakan pelbagai program dan pelaburan supaya boleh tarik lebih banyak syarikat dari China untuk datang melabur di Malaysia serta membeli minyak sawit negara,katanya.

SUMBER - BERITA HARIAN

Subscribe Channel Kami di Youtube
LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?