Header Ads

Rosmah Mengaku Tak Salah Rasuah RM5 Juta

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
Foto: Rosli Talib

KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini pagi ini atas tuduhan menerima suapan RM5 juta sebagai upah membantu Syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek sistem solar bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus, tiga tahun lalu.

Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan dihadapan hakim Azura Alwi.

Ini merupakan kali kedua isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa berkaitan kes yang sama.

Mengikut pertuduhan hari ini, Rosmah didakwa menerima wang tersebut daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 buah sekolah di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini, pada 20 Disember 2016.



Dakwaan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.



Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar mencadangkan mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.


Bagaimanapun Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah memohon jaminan dikecualikan kerana kes yang dihadapi anak guamnya adalah berkaitan pertuduhan sama yang telah dipertuduhkan sebelum ini.

"Mahkamah sebelum ini telah mengenakan ikat jamin RM1 juta atas kes berkaitan maka kami dengan rendah diri memohon mahkamah mengguna pakai jaminan tersebut untuk kes ini,"katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan kes sebelum ini diguna pakai dan menetapkan 10 Mei untuk sebutan semula kes.

Pada masa yang sama Mohd Dusuki memaklumkan pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Pada 15 November tahun lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lalu.

SUMBER - SINAR HARIAN



LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?