Sambung Projek ECRL Pilihan Tepat
KUANTAN: Penyelesaian isu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara Malaysia dan China satu keputusan tepat pada masanya.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata selain dapat mengukuhkan hubungan bilateral antara Kuala Lumpur dan Beijing, kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada forum Belt and Road Initiative (BRI) hujung bulan ini di Beijing dapat mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.
“Dengan selesainya rundingan ini, kita dapat ‘move on’ dengan perbincangan lain berkaitan dengan hubungan bilateral Kuala Lumpur dan Beijing.
“Ini keputusan yang mustahak kerana manfaatnya, tetapi pentadbiran Pakatan Harapan memutuskan kos asalnya yang terlalu besar dikurangkan dengan memperkecilkan saiz dan jajarannya,” katanya.
Saifuddin berkata demikian kepada media selepas meraikan peserta Program ‘Familiarization Visit for Diplomatic Corps to Pahang’ pada Majlis Makan Malam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, malam tadi.
Yang turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang juga ahli Parlimen Kuantan dan Rektor UIAM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak.
Sementara itu, Fuziah mengalu-alukan keputusan kerajaan meneruskan projek ECRL kerana akan membawa limpahan ekonomi kepada penduduk negeri ini.
“Projek laluan darat ini akan memendekkan masa ke Pantai Timur yang kini mengambil masa kira-kira tiga hingga lima jam. Ini juga dapat meningkatkan jumlah kehadiran pelancong selain penghantaran kargo di mana kedua-duanya berkaitan dengan ekonomi,” katanya.
Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat mengumumkan kerajaan sedia menyambung projek ECRL pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kos pembinaan Fasa 1 dan 2ECRL dikurangkan kepada RM44 bilion, berbanding kos asalnya RM65.5 bilion.
Wakil Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin dilaporkan berkata, jajaran baharu ECRL membabitkan laluan dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.
SUMBER - BERITA HARIAN
Subscribe Channel Kami di Youtube
LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
SUMBER - BERITA HARIAN
Post a Comment