Header Ads

Pizza Durian Pak Din Dapat Sambutan

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
Subscribe Channel Kami di Youtube

KAKITANGAN Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka, Norhanim Ismail menunjukkan 'Pizza Durian' antara makanan yang dijual sempena Melaka Durian Street 2019, di Klebang. - Foto BERNAMA

MELAKA: Musim durian ketika ini memberi ilham kepada seorang peniaga mencuba idea baharu menggabungkan budaya Itali dan Malaysia dengan mengasilkan pizza durian untuk dinikmati peminat raja buah itu.



Memang agak pelik, namun idea Kamaruddin Abdul Kadir, 54, mengetengahkan pizza durian sebagai satu inovasi dalam cara menikmati raja buah itu dan mungkin dapat dicuba oleh pelancong dari Barat yang agak ragu-ragu dengan rasa dan bau durian sendiri.

Kamaruddin yang mesra disapa Pak Din, berkata beliau berniaga pizza durian dari buah variati IOI sejak tiga hari lalu menggunakan ‘food truck’ di Ayer Molek dan mendapat sambutan menggalakkan pelanggan.

Katanya, beliau mampu meraih lebih RM1,000 bagi pizza jenis itu dengan rata-rata pelanggan mengemari rasanya yang enak dan lembut.

Menceritakan idea mencipta pizza durian itu, Pak Din berkata, idea muncul kira-kira jam 1 pagi ketika membeli durian untuk anak-anak.

“Disebabkan mereka telah tidur, saya membuka durian itu untuk mengelakkan rasa masam dan terlintas dalam fikiran untuk cuba meletakkan isinya pada roti pizza.

“Ternyata roti pizza dan durian agak sesuai digandingkan. Saya cuba menggunakan durian kampung, namun gabungannya tidak sama kerana isinya yang pahit mengganggu rasa pizza,” katanya ketika ditemui sempena ‘Melaka Durian Street 2019’ di Klebang.

Katanya, bagi menjaga kualiti serta mengekalkan kelazatan rasa pizza durian, beliau menggunakan durian varieti IOI berikutan rasa manisnya yang lebih stabil.

Pak Din yang berasal dari Duyong, berkata beliau juga menggunakan tiga jenis keju, iaitu ‘cheddar’, ‘parmesan’ dan ‘mozzarella’ pada piza berkenaan tanpa menambah bahan lain untuk mengekalkan rasa keaslian durian.

“Biasanya saya akan membeli durian IOI kira-kira 10 hingga 12 kilogram, namun selepas dibuang kulit dan biji, berat bersih isi yang tinggal kira-kira 900 gram hingga sekilogram.

“Walaupun selepas tamat musim durian, saya akan terus menjual pizza jenis ini dan telah berurusan dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka untuk mendapatkan bekalan durian berkenaan,” kata usahawan tani bimbingan FAMA ini.

Selain pizza yang siap dihidang, katanya, terdapat juga permintaan pizza durian sejuk beku selain pizza ayam, makanan laut dan sebagainya.

“Untuk harga pizza durian ukuran sembilan inci adalah RM29, manakala saiz biasa RM36 dan saiz keluarga RM43,” katanya. 

SUMBER - BERNAMA

Subscribe Channel Kami di Youtube
LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?