Rumah Terbakar Sampai Ke Kediaman Jiran
“DALAM jarak kira-kira 100 meter dari tempat bekerja saya ternampak asap hitam dan tidak menyangka ia datang dari rumah kami yang terbakar,” kata Nur Arisha Abdullah, mangsa kebakaran di Kampung Laut di sini, semalam.
Kejadian jam 10.45 pagi itu menyebabkan enam rumah musnah 100 peratus termasuk kediaman keluarga Nur Arisha, 17.
Nur Arisha berkata, ketika sedang bekerja di tempat memproses serunding, dia ternampak asap tebal menjulang dan segera berlari menghala ke lokasi.
“Dalam hati saya berdoa supaya bukan rumah sewa kami yang terbabit namun anggapan itu ternyata meleset.
“Ketika sampai, api marak dan bukan rumah kami sahaja yang terbakar tapi sudah merebak ke beberapa kediaman jiran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.
Dia berkata, ketika kejadian semua ahli keluarga tiada di rumah termasuk ibu dan bapanya yang berniaga di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu.
“Kebakaran itu mungkin ada kaitan dengan litar pintas kerana sebelum ini sudah beberapa kali berlaku masalah elektrik berpunca daripada fius.
“Nasib baik enam adik saya keluar bermain sekitar kampung jika tidak kami tidak tahu apa nasib yang menimpa mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Zon Kota Bharu, Syobirin Abd Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.50 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu tiba 10 minit kemudian.
Beliau berkata, seramai 36 anggota terbabit dalam operasi iaitu dari BBP Tumpat, Wakaf Bharu, Pengkalan Kubor dan Kota Bharu termasuk empat pasukan bomba sukarela (PBS) dari BBP Pengkalan Kubor.
“Api merebak disebabkan beberapa faktor termasuk cuaca panas, angin serta struktur kediaman yang kebanyakannya kayu.
“Bagaimanapun, kebakaran dikawal dalam masa 35 minit dengan kerjasama penduduk kampung serta pihak polis,” katanya.
Post a Comment