Tragedi | Identiti dua mangsa parah kemalangan ngeri dikenal pasti
KLUANG: Identiti dua individu yang parah dalam nahas ngeri turut mengorbankan tiga yang lain di Kilometer 42 Jalan Batu Pahat-Mersing malam tadi, dikenal pasti.
Mereka adalah Asni Ahamat, 50, dan anak perempuannya, Arina Asni, 25, dari Parit Sulong, Batu Pahat, manakala pemandu sebuah lagi kereta yang terbabit dalam kemalangan itu, N Thurgan, 30, dari Taman Berlian Biru, di sini, pula patah kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata dua beranak itu kini dirawat di Zon Merah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang kerana mengalami kecederaan parah di kepala.
“Difahamkan ayah dan anak berkenaan masih dirawat di Zon Merah HEBHK sehingga kini,” katanya ketika dihubungi.
Pagi tadi, Mohd Abduh dilaporkan berkata, mangsa ketiga yang maut dalam kemalangan ngeri itu dikenali sebagai Aishah Afiqah Mashaizar, 26, yang memandu Perodua Myvi, yang disahkan meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan HEBHK Kluang kerana cedera parah di kepala.
Dua lagi yang maut dalam nahas membabitkan tiga kereta dan sebuah motosikal kira-kira jam 9.20 malam tadi adalah warga Indonesia dikenali dengan nama Jambong, 63, dan Suparman, 36, juga kerana parah di kepala.
Siasatan awal polis mendapati dua lelaki warga Indonesia yang menaiki sebuah motosikal dari arah Kluang menghala Ayer Hitam, dipercayai cuba masuk ke simpang sebelah kanan sebelum dilanggar dari belakang oleh Thurgan yang memandu dari arah sama.
Akibat rempuhan itu, kereta dipandu wanita berkenaan hilang kawalan seterusnya bertembung kereta dipandu Aishah Afiqah yang datang dari arah bertentangan.
Suparman yang membonceng motosikal ditunggang Jambong pula dilaporkan terpelanting ke arah sebuah lagi kereta yang dipandu Asni.
Post a Comment