Elak Terdedah Panas Selepas 9 Pagi - Dr Zaini
image source: fittyblog.files.wordpress.com/2014/02/hot-weather.jpg |
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Zaini Hussin juga menasihatkan pentadbiran sekolah dan institusi pengajian tinggi juga menghentikan sementara aktiviti luar.
“Kalau hendak diadakan juga aktiviti luar termasuk bersukan, ia perlu dijalankan awal pagi dan berakhir sebelum 9 pagi atau lewat petang.
“Selepas jam 9, cuaca semakin panas dan pernah direkodkan mencapai lebih 40 darjah celcius dan ini boleh menyebabkan strok haba,” katanya selepas majlis pelancaran program Mari Berpeluh Jabatan Kesihatan Kelantan 2019 di sini, hari ini.
Tujuh jabatan kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia dengan 200 peserta mengambil bahagian pada program itu.
Berikutan cuaca yang panas sehingga boleh menyebabkan dihidrasi dan seterusnya mengakibatkan strok haba, Dr Zaini menasihatkan orang ramai meminum air terutama air putih dengan jumlah yang banyak.
Katanya, sekiranya ada tanda-tanda demam, muntah, cirit birit dan kejang dalam kalangan orang ramai, mereka dikehendaki berjumpa doktor segera untuk diagnosis awal.
“Tindakan awal boleh mengelak daripada berlaku komplikasi lebih teruk termasuk boleh membawa maut,” katanya.
Sementara itu dalam ucapannya, Dr Zaini berkata program Mari Berpeluh bertujuan mempromosi dan menggalakkan penglibatan seluruh rakyat Kelantan khususnya menjalankan aktiviti fizikal yang boleh mengeluarkan peluh.
“Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 melaporkan 51.7 peratus iaitu lima daripada 10 rakyat Kelantan menghadapi masalah hypercholesterolemia (kandungan kolesterol tinggi dalam darah), masalah berat badan berlebihan (30.7 peratus) dan 28.8 peratus menghadapi masalah obesiti yang memberi isyarat penyakit tidak berjangkit semakin meningkat.
“Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan telah menyediakan satu pelan untuk aktiviti fizikal dikenali sebagai NASPAL (Pelan Strategik Kehidupan Aktif Nasional) 2016-2025 yang bermatlamat untuk menurunkan sebanyak 10 peratus prevalen ketidak aktifan dalam aktiviti fizikal penduduk Malaysia menjelang 2025,” katanya.
— BERNAMA
Post a Comment