Header Ads

Raih RM2 Juta Kerana Tembikai


- Gambar Hiasan


BACHOK, 20 Feb (Bernama) -- Seramai 80 peserta projek tanaman tembikai dan mas melon (tembikai wangi) di Kampung Kandis di sini berjaya meraih pendapatan lumayan, menjangkau sekitar RM2 juta hasil kejayaan projek itu yang diusahakan secara berkelompok di atas kawasan seluas 140 hektar sepanjang tahun lepas.

Ketua projek Aziz Hamzah berkata semua peserta ini merupakan bekas penanam tembakau yang beralih kepada projek tanaman baru, dan susulan kejayaan memberangsangkan itu, pihaknya berazam mengulangi kecemerlangannya pada tahun ini.

Beliau berkata tujuh tan hasil tanaman itu disasar dapat diperoleh bagi setiap 0.3 hektar kawasan projek, dan menurutnya mereka terpaksa menjual hasilnya nanti secara borong pada kadar RM0.80 sen setiap kilogram di ladang kepada orang tengah walaupun harga di pasaran semasa adalah antara RM1.50 dan RM2 sekilogram.

“Sepatutnya kami mendapat harga sekurang-kurangnya RM1 sekilogram tetapi apa boleh buat, lambakan buah itu di setiap negeri memaksa kami menerimanya,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Tuai Hasil Tembikai dan Mas melon yang dirasmikan Penolong Pegawai Pertanian, Jabatan Pertanian Kelantan, Abdullah Ahmad di Kampung Telong di sini hari ini.

Sementara itu, Abdullah berkata, pihaknya mengeluarkan bantuan baja, racun dan khidmat nasihat kepada setiap perserta mengikut kaedah pertanian yang betul.

Beliau berkata, kejayaan mereka menghasilkan pendapatan yang agak lumayan itu disebabkan mereka sentiasa patuh kepada segala tunjuk ajar yang diberikan.


-- BERNAMA