Kerajaan Tidak Lupa Janji Manifesto - Wan Azizah
HULU LANGAT: Kerajaan Pakatan Harapan (PH)
sentiasa berusaha menunaikan janji manifestonya meskipun berdepan
kekangan dan masalah sejak mengambil alih kerajaan pusat tahun lalu.
Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kerajaan
tidak sama sekali melupakan setiap janji yang pernah dinyatakannya,
namun komitmen untuk melunaskan janji berkenaan memerlukan pertimbangan
serius.
Katanya,
keadaan kewangan yang meruncing dihadapi Kerajaan Persekutuan ketika
ini menjadi sebab pelaksanaan janji terpaksa ditangguhkan seketika dan
memerlukan lebih masa.
"Kalau kita (kerajaan) mahu janji, kita kena buat dan teliti betul-betul adakah kita mampu atau tidak.
“Dulu
kita dalam pembangkang kita tidak dapat melihat keadaan (masalah
sebenar ketika pentadbiran terdahulu), kita tidak jangka betapa
runcingnya masalah (dihadapi kerajaan) sekarang," katanya.
Beliau
berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program
Gotong-Royong Perdana Bersama Pemimpin PH di Pusat Daerah Mengundi (PDM)
Bandar Rinching, di sini, hari ini.
Dr
Wan Azizah berkata, rakyat perlu beri peluang kepada PH melunaskan
janjinya apatah lagi kini kerajaan pusat yang dibentuk baru berusia
sembilan bulan, berbanding Barisan Nasional (BN) yang sudah mentadbir
negara sejak 60 tahun.
Mengulas
janji kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)
Semenyih, Dr Wan Azizah berkata kerajaan PH tidak mengamalkan rasuah
politik dalam berkempen untuk menarik undi.
"Kita
memang tidak amalkan rasuah politik. Kita mahu tawarkan politik khidmat
anak muda di PRK kali ini. Kita tahu Selangor di bawah PH dan PH
menerajui Putrajaya.
"Kalau
ada kaitan dan hubungan erat (antara kerajaan negeri dan pusat)
pastinya akan bawa kebaikan kepada pengundi di sini. Harap pengundi
memikirkan perkara ini," katanya.
Dr
Wan Azizah mengakui di bawah Malaysia baharu ini, kerajaan menjadi
mangsa serangan berterusan bukan sahaja daripada pembangkang, bahkan
rakyat sendiri.
"Kita sekarang ini diserang bertubi-tubi sebab kita mengamalkan kebebasan media. Kerajaan dulu tidak macam sekarang.
"Namun,
saya yakin semua pihak dapat menilai dengan masalah yang kerajaan kini
sedang warisi. Ia memerlukan masa untuk memperbetulkan keadaan ini,"
katanya.
Sementara
itu, ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Taman
Pelangi Semenyih, di sini, Timbalan Perdana Menteri Azizah berkata aspek
kejiranan memerlukan pengukuhan bagi memastikan rakyat hidup dalam
suasana harmoni dan bermasyarakat.
Beliau
mengakui di kawasan bandar, budaya kejiranan ini tidak begitu
dititikberatkan menyebabkan ada di kalangan mereka tidak mengenali jiran
masing-masing.
"Kalau
kita pergi ke bandar, kita dapat lihat ada yang sampai tak kenal jiran.
Ini berbeza budayanya dengan masyarakat di kampung.
"Kalau
kita duduk di bandar, kita tidak kenal sesama jiran ia mungkin akan
menyukarkan. Kalau ada taman perumahan, sebaiknya kejiranan itu mesti
ditingkatkan secara bersama," katanya.
Sumber : Berita Harian
Sumber : Berita Harian
Post a Comment