Header Ads

Messi Hatrik Diangkat Juara

Lionel Messi Diasak Oleh Lawannya








SEVILLE: Lionel Messi meledak hatrik ke-50 kariernya ketika membantu Barcelona mengatasi Sevilla 4-2, awal pagi tadi sekali gus meningkatkan peluang untuk mempertahankan gelaran La Liga.

Selepas beberapa aksi longlai termasuk seri tanpa jaringan dengan Lyon di pentas Eropah, minggu lalu, Messi dijangka kurang menyerlah tetapi gergasi Sepanyol itu membuktikan mereka lebih baik di Ramon Sanchez Pizjuan ketika dua perlawanan menentang seteru Real Madrid sedang menghampiri.

Selepas menjaringkan 11 gol dalam sembilan perlawanan, masalah ketegangan otot menyaksikan bintang Argentina itu sekadar meledak satu gol dalam empat perlawanan terakhir yang memberi petanda dia mungkin sudah terlalu letih.

Begitupun, Messi kembali ke tahap terbaik apabila menjaringkan hatrik ke-44 miliknya untuk Barcelona sekali gus menyertai bekas pemain Real, Cristiano Ronaldo sebagai penjaring hatrik terbanyak di Sepanyol.

Messi menjaringkan gol bersama rakannya
“Kami tidak boleh sentiasa berada di tahap terbaik kami,” kata Messi selepas perlawanan. “Kami tiba daripada perlawanan yang, untuk berkata jujur, kami tidak bermain permainan terbaik kami. Jika permainan itu lancar, lebih mudah untuk menjaringkan gol.”

Selepas menyumbat gol pada minit ke-26, 67 sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-85, Messi kemudian membuat umpanan terhadap Luis Suarez pada masa kecederaan bagi melengkapkan keempat-empat gol Barca.

Sevilla begitupun terlebih dulu mendahului menerusi jaringan Jesus Navas pada minit ke-22 sebelum mendahului permainan buat kali kedua menerusi Gabriel Mercado, tiga minit sebelum babak pertama berakhir.

Kekalahan menyaksikan peluang Sevilla untuk menghuni kedudukan empat terbaik La Liga bertambah sukar dengan mereka ketika ini ketinggalan dua mata di belakang Getafe yang berada di tangga keempat.

“Kemenangan ini tidak bermakna kami hampir memenangi gelaran tetapi ia adalah kemenangan yang penting,” kata Messi. “Perjalanan akan bertambah sukar menuju penghujung saingan dan tidak mudah untuk beraksi di sini. Hari ini kami menjadi diri kami yang sebenar.”
- AFP

sumber : Berita Harian