Header Ads

Kim Jong Un Selamat Tiba Di China



DANDONG : Kereta api dinaiki ketua Korea Utara, Kim Jong Un selamat tiba di China lewat malam tadi susulan sidang kemuncak bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Vietnam.

Menurut agensi berita rasmi Korea Selatan, Yonhap, kereta api berkenaan tiba di sempadan bandar Dandong pada jam 9 malam (waktu tempatan).

Agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA mengesahkan pelepasan Jong Un dari Pyongyang awal pagi semalam.

“Pegawai kanan parti, kerajaan dan pasukan bersenjata dengan ikhlas mengucapkan selamat maju jaya kepada Kim Jong Un dan semoga pulang dengan selamat,” KCNA dipetik sebagai berkata.

Turut mengiringi Jong Un adalah orang kanan dan jeneral tertinggi beliau, Kim Yong Chol yang bertemu Trump di Rumah Putih bulan lalu bersama beberapa pemimpin tertinggi lain.

Kereta api terbabit merentasi China selepas beberapa hari spekulasi mengenai pemergian Jong Un hangat diperkatakan, serentak dengan kehadiran pasukannya di Hanoi bagi bersiap sedia untuk menghadiri sidang kemuncak berkenaan pada Rabu dan Khamis depan.

Kawalan keselamatan ketat turut dibuat sebelum ketibaan kereta api itu, dengan polis menutup kawasan tepi sungai menggunakan penghalang besi dan pelekat, kira-kira 100 meter dari jambatan, malah turut mengarahkan wartawan meninggalkan lokasi terbabit.

Tetamu yang menginap di bilik mengadap jambatan dari arah Korea Utara juga secara tiba-tiba diarah mendaftar keluar Jumaat lalu dan diberitahu bahawa hotel berkenaan akan ditutup semalam untuk pengubahsuaian. - AFP