Header Ads

6 Keluarga Berteduh di KOMTAR

WARGA emas, Balkees K M Mohamed Hussan (kiri) bersama sebahagian 20 penyewa yang diusir dari rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di perkarangan KOMTAR. - Foto Mikail Ong


“Kami akan terus berteduh di kaki lima Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, sehingga kerajaan negeri sudi berunding”.

Begitulah luahan enam keluarga membabitkan hampir 40 isi rumah yang diusir dari unit kediaman masing-masing di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di sini, yang berkuat kuasa semalam.

Enam keluarga itu berteduh di kaki lima KOMTAR sejak jam 12 tengah malam tadi, selepas hilang tempat berlindung, selain ada yang menumpang di surau.

Warga emas, Balkees K M Mohamed Hussan, 64, berkata dia sedih dengan tindakan kerajaan negeri yang mengusirnya tanpa mengambil kira penjelasan dan rayuan dikemukakan.



SEBAHAGIAN daripada lebih 20 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Jalan Sultan Zainal Abidin 'berkampung' di perkarangan KOMTAR. - Foto Mikail Ong


“Mereka (kerajaan negeri) usir kami dengan alasan saya dan suami masing-masing ada rumah di Sungai Pinang di sini, sedangkan kediaman dahulu sudah dirobohkan untuk pembangunan, pada 2004.

“Saya diberikan unit di PPR Taman Manggis sebagai timbal balas bagi rumah lama yang dirobohkan. Mereka tak semak ke status rumah di Sungai Pinang, sebelum usir kami?

“Saya tak ada rumah, kalau ada buat apa saya duduk di PPR? Sudahlah saya bekerja sebagai tukang cuci dan menghidap pelbagai penyakit... kenapa buat kami seperti ini?” katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Suri rumah, Nazrimah Jamal Abidin, 44, mendakwa dia diusir dari PPR Taman Manggis kerana berkahwin dengan warga Indonesia yang tidak mempunyai kerja tetap.



SEBAHAGIAN daripada lebih 20 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Jalan Sultan Zainal Abidin yang diusir dari rumah masing-masing sejak pagi semalam, masih 'berkampung' di perkarangan KOMTAR. - Foto Mikail Ong


“Saya berkahwin dengan suami (Mohd Kadim Kutnan, 51) kerana saya sakit dan dia yang menjaga kebajikan kami sekeluarga. Malah, suami kini dalam proses mendapatkan status warganegara.

“Lebih menyedihkan apabila kami diusir sehelai sepinggang dan dilarang masuk ke rumah walaupun hanya untuk mengambil pakaian dan barangan peribadi,” kata ibu kepada lapan anak itu.

EXCO Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, gagal dihubungi untuk mengulas isu berkenaan.

Semalam, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, dilaporkan berkata lebih 20 penyewa PPR Taman Manggis yang diarahkan mengosongkan unit masing-masing kerana melanggar beberapa syarat mendiami kawasan itu.

Arahan itu juga dibuat berdasarkan konsep PPR yang membenarkan penyewa mendiami perumahan berkenaan dalam tempoh ditetapkan, iaitu lima tahun saja.

“Tempoh penyewaan bantuan PPR hanya diberikan selama lima tahun kepada penyewa, namun majoriti penduduk yang diusir telah menetap di situ selama 10 hingga 11 tahun,” katanya.



LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?