Bila Giliran Saya Nak Mati?
Mengagumkan
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern bertanya khabar kepada Nazril dalam pertemuan kelmarin.
SHAH ALAM - Mangsa tembakan pengganas dalam serangan di Masjid Al-Noor, Christchurch di New Zealand, Nazril Hisham Omar, 49, sempat berfikir bila nyawanya akan diambil dalam tragedi berdarah 15 Mac lalu.
Ini kerana menurut Nazril, seperti yang diceritakan isterinya, Prof Madya Dr Zurinawati Mohi, 48, kepada Sinar Harian ketika itu beliau gagal menyelamatkan diri.
Zurinawati berkata, ketika sedang mendengar khutbah, suaminya terdengar bunyi letupan seakan bunyi mercun dan bunyi itu semakin lama semakin kuat.
“Apabila lihat kiri dan kanan, dia ternampak jemaah rebah. Semua sudah panik dan cuba menyelamatkan diri. Begitu juga dengan suami saya. Namun dia terkena tembakan pada jari di kedua-dua belah kaki.
“Dalam keadaan itu, dia cuba lagi tetapi ditembak di belakang badan. Dia rebah. Namun dia bersyukur dapat terus hidup kerana banyak mayat-mayat di atas badannya. Dia juga dapat rasa darah jemaah masuk dalam mulut, hidung dan telinga. Dalam keadaan itu, dia terfikir, bila giliran dia akan mati,” kata Zurinawati seperti yang diceritakan suaminya.
Menurut Pensyarah dari Fakulti Perhotelan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam itu, ketika ini suaminya boleh dikatakan sembuh selepas lebih seminggu menerima rawatan di Hospital Christchurch.
Nazril sudah mampu mengukir senyuman walaupun sebelum ini trauma dengan kejadian serangan pengganas itu
“Lepas seminggu banyak berubah. Dia sudah sihat. Sudah boleh senyum. Boleh boleh pergi tandas sendiri. Banyak wayar-wayar sudah dicabut. Sudah boleh makan. Cuma masih di hospital dan kaki masih lagi sakit.
“Saya bersyukur dengan perkembangan yang ditunjukkan. Suami sungguh kuat walapun sebelum ini trauma dengan kejadian serangan itu,” katanya.
Dalalam kejadian serangan itu, tiga rakyat Malaysia cedera iaitu Nazri dan Rahimi Ahmad dan Mohd Tarmizi Shuib.
Bagaimanapun anak Mohd Tarmizi, Muhammad Haziq, 17 maut dalam kejadian yang mengorbankan 50 nyawa.
SUMBER - SINAR HARIAN
SUMBER - SINAR HARIAN
LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
Post a Comment