Header Ads

Detik Cemas dan Kelam Kabut Di Tempat Rawatan Mangsa Pencemaran Kimia

SUASANA sesak dan kelam-kabut di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor, sebentar tadi yang menjadi tempat mangsa menerima rawatan awal akibat pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim. - UTUSAN ONLINE/NUR AISYAH MAZALAN



PASIR GUDANG 12 Mac - Suasana di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih di sini iaitu lokasi rawatan awal untuk pelajar-pelajar sekolah yang menjadi mangsa pencemaran kimia sesak dan kelam-kabut.

Tinjauan Utusan Online di pekarangan dan dalam dewan berkenaan mendapati kira-kira 100 anggota bomba, polis, petugas perubatan dan guru memberi bantuan kecemasan kepada lebih 100 pelajar yang terjejas.

Mereka dihantar ke dewan berkenaan sejak pukul 10 pagi ini apabila pelajar dari sekolah rendah dan menengah bertali arus dihantar untuk rawatan tanpa henti sehingga kini.

Ibu bapa pelajar dan penduduk setempat turut hadir di luar dewan untuk mengetahui keadaan anak- anak mereka dengan memeriksa senarai pesakit daripada pihak pengurusan sekolah.

Situasi bertambah cemas apabila beberapa ambulan kerap berulang alik dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort di sini untuk mengambil pelajar yang terkesan dengan keadaan itu.

Lebih 100 pelajar dari kedua-dua sekolah berkenaan pada pagi ini pengsan, muntah dan pening kepala akibat pencemaran bahan kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim pada Khamis lalu.

Semua pelajar tersebut merupakan mangsa terbaharu kes pencemaran kimia dan mereka menerima bantuan awal daripada pihak bomba dan pasukan perubatan di dewan serbaguna itu.

Difahamkan jarak antara SMK Tanjung Puteri Resort dan SK Tanjung Puteri Resort dengan Sungai Kim Kim masing-masing 5 dan 3 kilometer.  


- UTUSAN ONLINE

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?