Header Ads

Divisyen Infantri Baharu Ditubuhkan Perkukuh Pertahanan Wilayah Timur

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
PANGLIMA Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain memeriksa perbarisan kawalan kehormatan anggota medan timur tentera darat sempena hari ulang tahun ke 5 Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan. - Foto Hazreen Mohamad

KOTA SAMARAHAN: Keupayaan Tentera Darat Malaysia (TDM) di wilayah timur akan diperkukuhkan dengan divisyen infantri baharu yang dirancang ditubuhkan di Sabah.

Panglima Medan Timur TDM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain, berkata mengikut perancangan, sel nukleus penubuhan Divisyen Ke-5 Infantri akan mula digerakkan Jun depan.

Beliau berkata, jika tiada sebarang kekangan, penubuhan berkenaan dijangka menjadi kenyataan menjelang Jun tahun depan.

“Penubuhan Divisyen Ke-5 Infantri dirancang bagi menggantikan Task Force 450 yang ditubuhkan susulan insiden pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

“Mengikut perancangan pemerintahan tertinggi TDM, Task Force 450 akan diubah suai agar setaraf divisyen infantri yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Pemerintahan Medan Timur di Kem Muara Tuang, di sini, hari ini.



Yang turut hadir, Panglima Divisyen Pertama Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd Din Abu, dan Panglima Task Force 450, Mejar Jeneral Datuk Zulkapri Rahamat.

Mengulas lanjut, Zamrose berkata, setakat ini, Markas Divisyen Ke-5 Infantri dirancang ditempatkan di Kota Kinabalu berikutan kedudukannya yang strategik.

Berikutan itu, beliau berkata, Markas 5 Briged yang kini beroperasi di Kota Kinabalu dijangka dipindahkan ke Kota Belud.

“Itu antara perancangan pembangunan TDM untuk mengukuhkan pertahanan wilayah timur,” katanya.

Mengenai perancangan untuk mengukuhkan keupayaan pertahanan udara TDM pula, Zamrose berkata, hanya dua lokasi ditempatkan pesawat Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) ketika ini, iaitu Sandakan dan Tawau.

“Secara keseluruhan, pertahanan udara Sabah dan Sarawak menjadi tanggungjawab Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang memiliki markas pemerintahan wilayah timur di Labuan,” katanya.

SUMBER - BERITA HARIAN

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?