Gaji Pasukan Keselamatan Wajar Dikaji Semula
Kerajaan perlu fikir tangga gaji yang lebih sesuai kepada anggota keselamatan. - Foto hiasan |
KLANG: Kementerian Pertahanan berharap kerajaan mengkaji semula skim tangga gaji anggota tentera bagi menarik minat lebih ramai bukan Melayu menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menterinya, Mohamad Sabu, berkata ketika ini masyarakat India antara yang tertinggi menunjukkan minat untuk menyertai tentera.
“Negara kita tiada kerahan tenaga seperti negara lain dan khidmat dalam pasukan keselamatan ini adalah khidmat pilihan, dan mungkin masalah tangga gaji kecil sebab itu bukan Melayu terutama Cina kurang minat menyertai tentera.
"Oleh itu, kerajaan perlu fikir tangga gaji yang lebih sesuai kepada anggota keselamatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Selangor Agro Market dan Pameran Kerjaya dan Promosi ATM di MARDI Jalan Kebun di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim; Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzi dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, berkata penganjuran pameran kerjaya dan promosi ATM kali ini mendapat sambutan terutama terhadap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Kita harap dengan kempen yang diadakan sekarang semua kaum akan memilih kerjaya tentera sebagai kerjaya pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Kementerian Kewangan sudah meluluskan peruntukan untuk diagihkan kepada Veteran ATM berjumlah RM79 juta menerusi Bantuan Harapan Negara.
Katanya, bantuan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini akan diberikan kepada veteran berpencen dan bekas tentera tidak berpencen dalam kelompok B40 serta pendapatan keluarga kurang RM3,000 sebulan.
“Lebih 160,000 veteran dan bekas tentera tidak berpencen akan menerima manfaat Bantuan Harapan Negara tahun ini,” katanya.
SUMBER - BERITA HARIAN
SUMBER - BERITA HARIAN
LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
Post a Comment