Header Ads

Beaufort Jadi Pusat Pelancongan Terkenal Negara


LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA
Dr Wan Azizah melambaikan tangan kepada orang ramai ketika tiba untuk merasmikan Festival Beaufort hari ini. - Foto BERNAMA

BEAUFORT: Hasrat menjadikan Beaufort sebagai pusat pelancongan terkenal akan menjadi kenyataan melalui kerjasama dan usaha berterusan antara Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata walaupun pelbagai kemudahan telah disediakan di Beaufort, namun ia belum mampu dapat memenuhi setiap kehendak pelancong.

“Kerajaan akan terus melaksanakan usaha supaya impian untuk menjadikan Beaufort sebagai sebuah pusat pelancongan yang terkenal akan menjadi kenyataan,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Festival Beaufort 2019 di Dataran Bagandang Beaufort, di sini, hari ini.

Katanya, Beaufort mempunyai potensi yang amat besar dalam sektor pelancongan dan pertanian.

“Sekiranya masyarakat Beaufort mengambil peluang untuk memajukan daerah ini, ia bukan saja dapat membantu mempertingkatkan ekonomi daerah ini, tetapi juga akan turut menyumbang kepada kemajuan negara, khususnya negeri Sabah dan seterusnya meningkatkan taraf hidup masyarakat Beaufort sendiri.

“Melalui festival ini, penduduk Sabah dapat mengenali Beaufort dengan lebih mendalam lagi, terutamanya agensi pelancongan yang boleh membantu dalam memperkenalkan Beaufort sebagai satu destinasi pelancongan yang unggul di negara kita,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Azizah berkata, semua pihak harus bekerjasama dan berganding bahu bagi memastikan kemajuan daerah ini akan terlaksana seperti yang diharapkan.

“Festival atau bahasa mudahnya Tamu, memang sangat sinonim dengan budaya masyarakat kita.



Tamu boleh didefinasikan sebagai pengunjung yang mengunjungi orang lain.

“Dalam konteks Festival Beaufort ini, objektif utama yang menjadi fokus kerajaan adalah memberi peluang, terutamanya kepada masyarakat tani, peniaga kecil-kecilan serta pengeluar produk tempatan untuk memasarkan atau memperkenalkan hasil pertanian, perniagaan serta produk yang mereka usahakan,” katanya.

Katanya lagi, ia sedikit sebanyak dapat menjana pendapatan mereka dan meningkatkan ekonomi mereka.

Terdahulu, menurutnya, festival kali ini menyajikan 18 acara menarik sepanjang berlangsung sehingga esok, termasuk Pertandingan Kebudayaan Tradisi Bagandang, iaitu Pertandingan Muzik daripada alat Muzik Tradisional seperti kulintangan dan gong dan persembahan kebudayaan daripada pelbagai suku etnik di Beaufort.

“Acara ini dapat membantu memartabatkan kepelbagaian budaya negara kita, terutamanya untuk generasi akan datang.

“Saya percaya Festival Beaufort 2019 ini dapat menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar negara untuk berkunjung ke daerah ini.

“Ini sudah pastinya memberi peluang untuk menambahkan sumber pendapatan kepada segenap lapisan masyarakat peniaga di daerah ini,” katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew dan Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob.

SUMBER - BERITA HARIAN

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?