Header Ads

Virgin Airlines Tamat Perjanjian Dengan Royal Brunei Airlines

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA


SYDNEY: Syarikat penerbangan milik jutawan Richard Branson, Virgin Airlines membatalkan perjanjian perjalanan kakitangan dengan Royal Brunei Airlines sebagai tindak balas terhadap penguat kuasaan undang-undang syariah di Brunei Darussalam, kata jurucakap syarikat itu.

Undang-undang syariah antara lain mengenakan hukuman bunuh terhadap kumpulan LGBT jika sabit kesalahan dan ia dianggap melanggar hak asasi manusia menjadi salah satu alasan syarikat itu bertindak demikian.

Jurucakap Virgin Airlines berkata, perjanjian antara syarikat penerbangan itu memberi kelebihan kepada kakitangannya untuk menempah tiket di Royal Brunei dengan diskaun untuk penerbangan percutian.

Virgin Airlines syarikat penerbangan kedua terbesar selepas Qantas, menghantar e-mel kepada kakitangan mereka menjelaskan berkenaan undang-undang syariah yang mula berkuat kuasa Rabu lalu.

Undang-undang itu terpakai kepada semua umat Islam, bukan Islam dan orang asing termasuk yang transit dalam pesawat dan kapal yang berdaftar di Brunei.



“Hukuman yang berat termasuk hukuman mati diperkenalkan sebagai undang-undang terhadap tindakan atau perlakuan yang sah di Australia, perjanjian myID (perjalanan staf) antara Virgin Australian dan Royal Brunei dibatalkan serta-merta,” tulis e-mel yang turut disertakan kepada AFP.

Menurut jurucakap syarikat itu, perjanjian yang membenarkan Royal Brunei menjual tiket bagi pihak Virgin untuk penerbangan dalam negara itu tidak terjejas.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Qantas, Alan Joyce yang juga usahawan ternama Australia, terkenal sebagai seorang gay menolak untuk memberikan sebarang komen sama ada syarikat itu juga bakal menilai semula perjanjian dengan Royal Brunei.

Brunei mula menguatkuasakan undang-undang syariah Rabu lalu, menjadikan ia satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara yang mengamalkan hukum Islam bersama-sama dengan beberapa negara Asia Barat lain termasuk Arab Saudi.

Keputusan untuk meneruskan penguat kuasaan undang-undang itu mencetuskan kekecohan di seluruh dunia, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyifatkan tindakan itu adalah pelanggaran jelas terhadap hak asasi manusia.

Beberapa selebriti terkenal dunia seperti George Clooney dan bintang pop, Elton John menyuarakan bantahan mereka dengan mengajak dunia memulau semua hotel milik kerajaan Brunei Darussalam di luar negara.

SUMBER - AFP

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?