Header Ads

Kes 1MDB 14 Mei Ini

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 14 hari bermula 14 Mei ini untuk perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, memaklumkan mahkamah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar kes penyelewengan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd sudah mengambil alih tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.

“Hakim Mohd Nazlan menetapkan perbicaraan kes SRC International bersambung 15 April hingga 10 Mei ini,” katanya.

Harvinderjit turut memaklumkan mahkamah perbicaraan kes pengubahan wang haram yang dihadapi peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijadualkan bermula 14 dan 15 Mei 2019, diteruskan pada 17, 28, 29 Mei serta 31 Mei.

Sehubungan itu, beliau memohon perbicaraan membabitkan Muhammad Shafee didengar terlebih dulu memandangkan kes itu didaftar lebih awal dan tidak terlalu berat.



Mahkamah kemudian menetapkan 16 April ini untuk pengurusan kes Muhammad Shafee.

Najib, 66, didakwa dengan empat tuduhan sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya sendiri.

Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM60,629,839.43 di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 14 Jun 2011.

Bagi tuduhan kedua, Najib didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM90,899,927.28 di tempat sama antara 31 Oktober 2012 hingga 20 November 2012, manakala tuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan RM2,081,476,926 dan RM49,930,985.70.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berdepan 21 tuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Sementara itu, pada 13 September tahun lalu, Shafee, 67, mengaku tidak bersalah terhadap 4 pertuduhan menerima RM9.5 juta daripada Najib hasil aktiviti pengubahan wang haram antara Ogos 2013 hingga Januari 2014 dan membuat penyata palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi jumlah sama antara Mac hingga Jun 2015.

SUMBER - BERITA HARIAN

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?