Header Ads

Pendidikan Berkualiti Untuk Anak B40, Miskin - Dr Maszlee

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA 
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berucap pada Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UITM Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan memastikan tidak ada golongan yang dipinggirkan dalam sistem pendidikan inklusif untuk ‘memugar’ potensi setiap pelajar dengan cara menyediakan pendidikan berkualiti.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, keterangkuman sistem pendidikan negara pada masa ini membabitkan golongan berkeperluan seperti anak keluarga B40, Orang Asli, Orang Kurang Upaya, miskin dan kumpulan minoriti.

Malah, katanya, kementerian juga memperkenalkan dasar menerima masuk kanak-kanak tanpa dokumen ke sekolah.

“Ada terbayang mereka ini pelarian atau pendatang asing tanpa izin tetapi ramai tanpa dokumen ini dalam kalangan warga Malaysia dan Bumiputera. Hasilnya kita menerima seramai 2,635 yang berdaftar,” katanya.

“Pendidikan di era ini adalah pendidikan inklusif, kita tidak mahu ada pihak ketinggalan dan keciciran hanya kerana latar belakang, bangsa kelahirannya, keadaan fizikal dia dilahirkan atau bangsa dari mana mereka datang.

“Kita tidak akan meminggirkan golongan Orang Asli, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kanak-kanak tanpa dokumen kelahiran.

“Ini kerana kita yakin setiap orang mempunyai potensi tetapi akses kepada potensi itu yang sering kali berlaku ketidaktaraan,” katanya dalam ucapan pada Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini, hari ini.


Justeru Maszlee berkata, kementerian cuba membawa konsep kesamarataan peluang termasuk dasar memberi kelebihan kepada anak daripada keluarga B40 selain daripada keluarga miskin supaya berpeluang memasuki asrama penuh.



Katanya, dasar yang diumumkan baru-baru ini memberi peluang dan membuka laluan kepada golongan miskin agar mereka mendapat pendidikan berkualiti di sekolah berasrama penuh.


Beliau berkata, jika golongan ini dinilai menggunakan kaedah merit untuk bersaing, ia akan menzalimi mereka berikutan sejak awal lagi tidak mempunyai peluang dan akses kepada pendidikan berkualiti.

“Ia memberi kelebihan kepada anak-anak dari golongan B40, keluarga miskin masuk ke asrama penuh, memberi peluang dan membuka laluan kepada golongan miskin agar mereka dapat kualiti pendidikan di sekolah berasrama penuh, begitu juga kemasukan ke universiti.

“Kita buka laluan khas kepada empat golongan iaitu golongan miskin, golongan OKU, ahli sukan kerana kita yakin ramai di antara kita atlet mampu dari segi bersukan tetapi tidak dapat peluang untuk mendapatkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) berbanding dengan negara maju.

“Kali ini kita buka peluang untuk mereka dan yang keempat untuk Orang Asli. Jadi kita buka laluan supaya mereka juga akan bersama mendapatkan pendidikan berkualiti,” katanya.

Maszlee berkata, bagi murid OKU pula, pihaknya sudah menyediakan beberapa dasar sama ada di peringkat IPT ataupun sekolah iaitu dasar sifar penolakan (zero-reject-policy).

Katanya, kerajaan mahu supaya ibu bapa kepada anak-anak berkeperluan khas menghantar anak mereka ke sekolah.

Beliau berkata, ia dilaksanakan laksanakan secara menyeluruh mulai tahun ini dan sehingga Mac, kementerian menerima sebanyak 83,039 pelajar OKU yang memasuki alam persekolahan.

“Begitu juga dasar menerima masuk kanak-kanak tanpa dokumen ke sekolah. Ada terbayang mereka ini pelarian atau pendatang asing tanpa izin tetapi ramai tanpa dokumen ini dalam kalangan warga Malaysia dan Bumiputera. Hasilnya kita menerima seramai 2,635 yang berdaftar,” katanya.

Dalam ucapan itu Maszlee turut berkata, pendidikan pada era ini benar-benar memugar potensi setiap individu secara menyeluruh, dengan penetapan tiga aspirasi besar sekali gus menjadi hala tuju dan nukleus dalam sistem pendidikan di negara ini.

“Pertama, Pendidikan Berteraskan Nilai yang akan menjadi intipatinya. Kedua, Peningkatan Kualiti Seluruh Sistem dan ketiga, Autonomi dan Akauntabiliti yang mesti berfungsi sebagai struktur yang mampan dan berdaya saing,” katanya.

SUMBER - BERITA HARIAN

LIKE PAGE BERITA SEPANTAS KEJADIANNYA

No comments

Ada apa nak kata ?